Sabtu, 31 Oktober 2015 | 4:30pm

Malaysia harap ASEAN sasar bebas jerebu 2018

KUCHING: Malaysia berpendapat ASEAN seharusnya menetapkan matlamat untuk menjadi rantau bebas jerebu menjelang 2018, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau menghadiri Persidangan Pihak-pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-11 yang diadakan di Hanoi, Vietnam pada Khamis serta Jumaat dengan jerebu menjadi isu utama yang dibincangkan.

"Sungguhpun ia belum lagi deklarasi rasmi namun Malaysia menyuarakan harapan agar rantau ASEAN seharusnya menetapkan matlamat untuk bebas daripada jerebu pada masa itu," katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Minggu Alam Sekitar peringkat negeri di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, negara anggota ASEAN seperti Myanmar, Kemboja dan kawasan utara di Thailand turut diselimuti jerebu disebabkan kebakaran hutan.

"Bagaimanapun keadaannya tidak begitu teruk memandangkan kawasan tanah gambut di negara terbabit tidak luas.

"Malaysia, Singapura dan Indonesia terjejas teruk apabila sebahagian besar daripada 1.7 juta hektar tanah gambut di Indonesia terbakar," katanya.

Mengenai komitmen Indonesia untuk memerangi kebakaran hutan di masa depan, Wan Junaidi berkata beliau bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, baru-baru ini.

"Indonesia akan menghantar satu delegasi untuk mengkaji sistem pengurusan tanah gambut kita yang dilengkapi parit dan empangan untuk membantu melembapkan tanah seperti itu.

"Mereka juga ingin mempelajari tentang sistem telaga tiub selain tindakan penguatkuasaan yang sangat ketat yang boleh dipelajari daripada Jabatan Alam Sekitar kita," katanya.

Mengenai jerebu, Wan Junaidi berkata hujan lebat pada 17 Oktober membantu memadamkan kebakaran hutan di Riau serta Jambi dan mengurangkan masalah jerebu dengan banyak.

-- BERNAMA

Berita Harian X