Ahad, 1 November 2015 | 12:19am
PENGGUNA tidak perlu mengambil antibiotik tanpa saranan atau preskripsi doktor. - Timbalan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tak patuh dos antibiotik punca kuman kebal

ISU mengenai penggunaan ubat antibiotik menjadi perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Ada yang kata, antibiotik bagus kerana cepat menyembuhkan penyakit tetapi sebenarnya boleh memudaratkan sehingga sesetengah negara maju sudah menghentikan pengguna antibiotik kepada pesakit. Wartawan BH Ahad MOHD ANWAR PATHO ROHMAN dan FAIRUZ ZAIDAN mendapatkan penjelasan lanjut Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ashok Zachariah Philip dan Timbalan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang.


Dr Ashok Zachariah

Dr Ashok Zachariah

Soalan (S): Etika dalam pemberian antibiotik kepada pesakit. Siapa sebenarnya yang layak dan jenis penyakit yang perlukan antibiotik?

Jawapan (J): Antibiotik itu khas untuk jangkitan kuman pada bakteria. Kuman virus seperti kuman malaria tidak boleh digunakan dalam antibiotik, ia tidak berkesan. Ia hanya akan berkesan terhadap jangkitan kuman seperti bakteria pneumonia, kuman dalam air kencing, bisul, kulit atau yang ada pada organ dalaman lain. Jika makan antibiotik, ia boleh membunuh kuman dan proses penyembuhan menjadi lebih cepat. Bagaimanapun, jika (penyakit) bukan kuman, kesannya langsung tidak berguna kerana antibiotik hanya bertindak pada virus bakteria saja.

S: Jika antibiotik diberikan tanpa jumpa doktor, apa kemungkinan risikonya kepada pesakit?

J: Kemungkinan pertama, ia mungkin bukan penyakit yang boleh sembuh dengan menggunakan antibiotik seperti denggi di mana antibiotik tidak akan berkesan. Jika tidak berjumpa doktor, kemungkinan kesannya seperti alahan, terutama apabila membeli antibiotik (tanpa rujukan doktor) boleh membahayakan nyawa. Kemungkinan kedua, seseorang itu boleh mengalami cirit-birit apabila mengambil antibiotik, selain mengakibatkan semua jenis kuman akan mati, termasuk kuman yang baik di dalam usus manusia. Kesan lain pula, mungkin kurang selera makan dan jika bukan penyakit yang berpunca daripada jangkitan kuman, tiada guna mengambil antibiotik. Malah, jika kita hendak membeli antibiotik di kaunter klinik, mereka jarang menjualnya. Ia (antibiotik) bukanlah ubat yang menjadi kebergantungan atau ketagihan seperti ubat batuk atau ubat tahan sakit. Jika kita makan antibiotik, ia tidak memberi sebarang rasa (kesan) seronok, kemungkinan mengalami sakit perut dan tidak sedap.

   

S: Kesan kepada individu jika mengambil antibiotik secara sembarangan, mungkin tidak sesuai dengan badan dan sukatan ubat?

J: Mengambil ubat antibiotik tanpa sebarang sebab tidak akan memberi apa-apa faedah, selain berisiko mendapat kesan sampingan jika mengambilnya secara tidak terkawal. Jika kita kerap mengambil ubat tahan sakit, kemungkinan ketagihan itu ada, tetapi tidak pada ubat antibiotik. Sekiranya mengambil pada waktu yang tidak cukup dan dos yang tidak tepat juga, kuman dalam badan boleh menjadi kebal sehingga tidak boleh lagi menggunakan ubat antibiotik yang sama, malah mungkin perlu menggunakan ubat lebih kuat atau lebih mahal. Itulah yang kita bimbang mengenai penyalahgunaan antibiotik ini kerana kuman akan menjadi kebal dan tidak terhad kepada pesakit, tetapi kesan kepada kuman itu secara keseluruhan. Jika ada kesan sampingan seperti gatal badan, muntah dan bengkak mata, perlu segera berjumpa doktor yang memberikan antibiotik. Jangan pula ke klinik lain kerana doktor yang bertanggungjawab memberi antibiotik perlu mencatat rekod untuk tidak memberikan ubat itu lagi.

 

S: Komen doktor mengenai salah laku sesetengah klinik yang menjual antibiotik. Daripada segi etika perubatan dan tindakan undang-undang?

J: Etika perubatan mengharuskan seseorang pesakit diperiksa oleh doktor sebelum diberikan ubat. Jika ada pesakit yang masuk dan tidak pernah jumpa doktor, jangan sesekali memberikan ubat. Periksa dulu dan harus pastikan ubat dan berapa dos yang diperlukan, selain berat fizikal pesakit. Sebagai contoh, ada pesakit yang pernah mendapatkan rawatan mempunyai rekod darah tinggi. Jika sesekali hendak membeli ubat (tanpa pemeriksaan doktor) itu tidak mengapa, tetapi saya jarang dengar orang menjual antibiotik, kemungkinan di farmasi ada. Ada juga pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor kerana faktor kos yang mahal. Seperti di klinik saya, jika pesakit memberitahu anaknya demam, saya tidak boleh beri ubat tanpa melihat anaknya. Jadi, etika itu salah kerana saya boleh bagi ubat tanpa melihat pesakit saya.

 

S: Ada atau tidak kemungkinan antibiotik digunakan bagi tujuan lain, contohnya untuk penagih ubat batuk?

J: Semua jenis antibiotik tidak memberi kesan seperti itu. Kesan pengambilan antibiotik bukan seperti morfin, heroin atau ganja.

   

S: Sesetengah negara maju sudah tidak mengamalkan pemberian antibiotik. Tetapi di Malaysia ia masih berlaku. Komen doktor mengenainya dan perbandingan kes?

J: Negara maju juga ada mengguna pakai ubat antibiotik apabila perlu untuk membunuh kuman. Jika ada jangkitan kuman bakteria, perlu menggunakan ubat antibiotik, tiada pilihan lain. Tiada cara perubatan lain. Sebelum memberi antibiotik, biasanya doktor akan memeriksa darah untuk pastikan jangkitan bakteria. Jika di negara ini, kita pergi ke hospital kerajaan pun pemeriksaan memang sebegitu. Buat pemeriksaan darah, pastikan jenis kuman sebelum memberi ubat antibiotik. Di klinik swasta, sudah ramai doktor yang membeli peralatan pemeriksaan darah untuk melihat sel darah putih. Jika sel darah putih naik, berkemungkinan tinggi ia disebabkan bakteria dan pesakit memerlukan antibiotik. Tiada faktor negara maju, antibiotik (digunakan) untuk membunuh bakteria. Doktor perlu memilih jenis antibiotik dan dos yang betul dan berapa lama ubat itu perlu dihabiskan.


Ubat antibiotik.

 

S: Amalan pemakanan harian yang sebenarnya boleh meningkatkan antibodi individu tanpa perlu bergantung kepada ubatan?

J: Antibodi bukan satu jenis, antibodi ada setiap jenis kuman. Sebagai contoh, virus Escherichia Coli (E.coli) memerlukan satu jenis antibodi dan setiap kuman itu pula mempunyai beribu-beribu jenis antibodi. Antibodi itu akan digunakan jika kuman memasuki badan dan ia akan bertindak apabila kuman masuk. Mengambil vitamin tidak akan memberi kesan pada antibodi, cuma ia boleh membantu. Antibiotik hanya boleh bantu dan bekerjasama dengan antibodi untuk membunuh kuman.

 

S: Mungkin doktor boleh memberi penjelasan lain berkaitan dengan antibiotik?

J: Pada masa kini seperti di kawasan bandar, penduduk di situ lebih memahami yang antibiotik bukanlah macam makan gula-gula apabila demam. Antibiotik diambil jika perlu dan ia bukan racun serta tidak perlu takut untuk mengambilnya. Jadi, nasihat saya sebelum makan antibiotik perlu berjumpa doktor terlebih dulu. Kemungkinan boleh menjalani pemeriksaan darah, air kencing atau membuat ujian x-ray sebelum boleh mengambil antibiotik. Pesakit juga perlu makan ubat antibiotik sehingga habis. Tiada keburukan mengenai antibiotik, tetapi (keburukan) hanya datang jika seseorang itu tidak habis memakannya.  Jika dos tidak cukup, ia bukan hanya memberi kesan kepada satu orang, tetapi kepada satu komuniti kerana kuman tidak mati, malah semakin kebal, kuat dan tahan lama.

 


TIMBALAN Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Amrahi Buang

S: Antibiotik adalah ubat yang sinonim dengan masyarakat kita dan selalu diberi jika mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Apakah kepentingan antibiotik kepada pesakit?

J: Antibiotik boleh dibahagikan kepada yang membunuh bakteria atau merencatkan aktiviti bakteria. Sesuai dengan kesannya, antibiotik hanya berkesan membunuh bakteria dan bukan virus. Oleh itu, pada asasnya, kita tidak perlu mengambil antibiotik setiap kali sakit atau mahu sembuh daripada penyakit. Apa yang berlaku sekarang, pesakit seperti diarahkan untuk menghabiskan antibiotik setiap kali sakit seperti demam atau selesema. Padahal ia sebenarnya tidak perlu pun. Pengguna perlu sedar dan faham pengambilannya, ada kala memberi kesan lebih buruk dan bukannya menyembuhkan.

S: Mengapa pengambilan antibiotik pada hari ini seperti sudah menjadi satu kemestian sedangkan pesakit sebenarnya tidak perlu pun mengambil antibiotik?

J: Perkara ini berlaku apabila pesakit mendapatkan rawatan di hospital atau klinik, terutama klinik swasta. Amalan lazim yang dilakukan orang ramai apabila mereka sakit ialah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan kemudian pihak klinik akan memberi ubat. Ubat yang diberi kepada pesakit ini biasanya tidak dirujuk kepada ahli farmasi. Ini adalah prosedur yang berlaku sejak 30 tahun lalu. Sebaliknya, prosedur di hospital atau klinik kerajaan pula berbeza. Selepas pesakit menemui doktor atau pegawai perubatan, mereka akan memberi prekripsi ubat kepada pesakit untuk diserahkan kepada unit farmasi. Ahli farmasi tadi bertanggungjawab memberikan ubat yang sesuai kepada pesakit berdasarkan preskripsi doktor tadi. Ahli farmasi lebih arif sama ada seseorang pesakit tadi memerlukan antibiotik atau tidak. Inilah perbezaan amalan pemberian ubat di antara klinik swasta dan awam.

S: Adakah ini bermakna prosedur operasi piawai (SOP) dalam pemberian ubat kepada pesakit di klinik swasta tidak memenuhi piawai?

J: Dalam hal ini, persatuan berpandangan pihak penyedia perkhidmatan perubatan swasta supaya mengikut amalan atau SOP yang dipraktikkan di klinik atau hospital kerajaan dalam pemberian ubat kepada pesakit kerana ia sesuatu yang baik dan berteraskan kepada kesihatan pesakit. Jika SOP ini sudah menjadi amalan klinik atau hospital kerajaan, mengapa tidak klinik swasta mengikutinya. Ini untuk kepentingan pesakit itu sendiri bagi jangka panjang.

S: Apakah kesan pengambilan antibiotik tanpa mengikut dos atau tempoh ditetapkan kepada manusia?

J: Persatuan sentiasa optimis, pemahaman yang lebih baik mengenai bilakah waktu terbaik menggunakan antibiotik atau cara pengambilan paling berkesan, akan membantu orang ramai lebih bertanggungjawab dalam soal penggunaannya. Pengambilan antibiotik tanpa mengikut dos atau tempoh ditetapkan akan menjejaskan keupayaan menghapuskan kuman. Virus atau kuman akan menjadi lebih kebal. Jika tubuh seseorang itu tidak berkesan dengan antibiotik, mereka memerlukan antibiotik tahap dua atau tiga yang lebih kuat. Inilah antara sebab mengapa antibiotik cuma boleh diambil atas saranan doktor.


TIMBALAN Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang menunjukkankan kesan antibiotik yang membunuh bakteria bukan virus. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

S: Isunya hari ini, ada pengguna yang sesuka hati membeli antibiotik di farmasi tanpa mendapatkan nasihat atau merujuk kepada doktor. Bagaimana hendak menangani masalah ini?

J: Dalam isu ini, ia membabitkan dua pihak pesakit dan farmasi. Pengguna sepatutnya perlu tahu yang antibiotik tidak boleh diambil sesuka hati tanpa merujuk kepada doktor. Pesakit juga perlu tahu, tidak semua penyakit memerlukan antibiotik untuk sembuh. Sebagai contoh, demam atau selesema lazimnya akan hilang dalam tempoh tiga hari. Antibiotik tidak perlu untuk mengubat penyakit ini. Hanya jika ia berpanjangan, itu menandakan dijangkiti virus, barulah boleh ambil antibiotik. Kedua, ahli farmasi perlu bertanggungjawab jika berdepan dengan pengguna yang mahu mendapatkan antibiotik tanpa menunjukkan preskripsi doktor. Ahli farmasi perlu jelaskan kepada pengguna yang ubat atau antibiotik hanya boleh diberikan berdasarkan preskripsi doktor. Ahli farmasi tidak boleh menjual ubat terkawal seperti antibiotik dengan sewenang-wenangnya.

S: Adakah ini menandakan tahap kesedaran orang ramai terhadap pengambilan antibiotik dengan betul, masih rendah?

J: Persatuan berpendapat apa yang perlu dilakukan hari ini ialah, orang ramai perlu diberi pendedahan, pendidikan dan kesedaran mengenai cara-cara pengambilan ubat atau antibiotik dengan betul. Tidak semua penyakit memerlukan pengambilan antibiotik untuk sembuh. Jika hendak mengambil ubat atau antibiotik, mesti mendapatkan preskripsi doktor dan tidak boleh semudah itu sahaja. Persatuan berpendapat, sudah sampai masanya pihak kerajaan mewujudkan peraturan yang mewajibkan klinik swasta mengeluarkan preskripsi perubatan kepada pesakit sebelum membenarkan pesakit mengambil ubat. Pesakit pula diwajibkan mendapatkan ubat daripada ahli farmasi atau kedai farmasi seperti diamalkan di kebanyakan negara Barat. Di Barat, klinik swasta hanya menyediakan perkhidmatan memeriksa dan merawat tetapi tidak menjual ubat kepada pesakit. Ia berbeza dengan negara kita iaitu klinik swasta turut dibenarkan menjual ubat termasuk antibiotik kepada pesakit tanpa pesakit merujuk kepada ahli farmasi. Namun, pengecualian mungkin perlu diberikan jika sesuatu kawasan atau tempat seperti pedalaman tidak memiliki premis farmasi.

S: Justeru, bagaimana hendak mendidik orang ramai supaya tidak terlalu percaya kepada antibiotik untuk menyembuhkan penyakit?

J: Yang penting, pengguna jangan memandai-mandai mengambil antibiotik tanpa saranan atau preskripsi doktor. Pengguna perlu tahu yang antibiotik tidak boleh dimakan dan dihabiskan dalam tempoh tiga hari kerana jika ia sekurang-kurangnya memerlukan lima hari untuk dimakan berterusan mengikut waktu dan dos yang ditetapkan ahli farmasi. Apa yang penting, orang ramai perlu fahami dan patuhi konsep 5B dalam pengambilan dan penggunaan ubat yang digariskan persatuan iaitu 'pengguna yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan ubat yang betul dan masa pengambilan ubat yang betul'.

2073 dibaca
Berita Harian X