Ahad, 1 November 2015 | 7:50am

Ridzuan baiki catatan masa sukan para Asia di Qatar


PELARI pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

KUALA LUMPUR: Pelari pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara 200m lelaki T36 (palsi serebrum) pada saingan hari terakhir Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada Sabtu.

Atlet berusia 28 tahun itu mencatat masa 25.04 saat, sekali gus memperbaiki catatan masa peribadi terbaik beliau dalam acara berkenaan iaitu 25.90s yang dicatat ketika beraksi di Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Acara itu dimenangi atlet Rusia, Evgenii Shvetcov dengan masa 24.29s sekali gus memadam rekod dunia milik beliau sendiri iaitu 24.45s yang dicatat ketika beraksi di Terbuka Berlin pada 21 Jun lepas.

Pingat perak dimenangi Roman Pavlyk dari Ukraine dengan masa 24.63s dan pingat gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Rusia, Evgenii Torsunov dengan masa 24.67s.

Pada Khamis lepas Mohamad Ridzuan berjaya meraih pingat emas dalam acara 100m kategori yang sama.

Skuad olahraga elit paralimpik negara secara keseluruhan berjaya meraih dua pingat emas dan tiga pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC kali ini.

Kejayaan itu memperbaiki pencapaian dua tahun lepas di Lyon, Perancis dengan hanya satu pingat emas iaitu melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

-- BERNAMA

Berita Harian X