Isnin, 2 November 2015 | 1:23pm

Polis tahan 4 sekeluarga disyaki bunuh, bakar mangsa di Tapah


DUA daripada empat suspek yang dipercayai terbabit dalam satu kes pembunuhan kejam di Jalan Pahang-Tapah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tapah menaiki kenderaan polis untuk perintah tahanan reman. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat sekeluarga dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya empat kes pembunuhan kejam mirip kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya, di Tapah, Perak, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenalpasti motif utama kes pembunuhan yang dilakukan di sebuah bengkel membaiki bas di Jalan Pahang, berhampiran Plaza Tol Tapah, Perak.

"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati wujud pelbagai motif dalam kes pembunuhan kejam ini yang berkemungkinan membabitkan tuntutan hutang berkaitan urusniaga dalam perniagaan dan perjanjian.

"Siasatan kini masih diteruskan oleh Polis Kontinjen Perak dan Bukit Aman bagi mengenalpasti saki-baki suspek lain yang terbabit," katanya ketika dihubungi BH.

Mohmad berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan kemungkinan masih ada lagi mangsa lain yang turut dibunuh oleh suspek sama.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Tapah melanjutkan reman selama empat hari lagi terhadap empat sekeluarga terbabit.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Nadia Abdul Razak selepas tempoh reman keempat-empat individu berkenaan tamat.

Sumber memberitahu, semua individu terbabit yang direman sejak 27 Oktober lalu, ditahan pada 26 Oktober di bengkel yang turut dijadikan kediaman mereka selepas polis memperoleh maklumat mengenai pembabitan mereka dalam kes berkenaan.

Dipercayai kes pembunuhan beberapa individu berkenaan turut membabitkan modus operandi memotong dan membakar mayat mangsa sebelum tulang dan abu mayat dibuang ke sungai berhampiran, sama seperti modus operandi kes pembunuhan Sosilawati pada Ogos 2010.

Selain pemilik bengkel yang dipercayai suspek utama kes berkenaan, tiga lagi yang ditahan adalah ahli keluarga terdekat iaitu isteri dan dua anaknya.

Difahamkan seorang daripada mangsa suspek adalah seorang ejen hartanah berusia 46 tahun berasal dari Chenderiang, Perak yang dilaporkan hilang sejak lebih dua bulan lalu.

Tinjauan BH di lokasi bengkel itu mendapati polis sudah selesai menjalankan pemeriksaan. Bengkel berkenaan yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama dan kira-kira 20 meter dari Sungai Ceroh, dikawal kira-kira 30 ekor anjing.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, berkata pihaknya masih mengumpul maklumat berhubung kejadian itu dan sebarang perkembangan terkini mengenai siasatan hanya akan diumumkan selepas ia lengkap.

Katanya, buat masa ini pihaknya tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.

Berita Harian X