Isnin, 2 November 2015 | 3:29pm

'Nanti orang cakap saya riak pula'


MAJLIS sambutan hari lahir Aaisyah Dhia Rana di White Place, Jalan Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Ahad lalu, di sebuah banglo mewah usang di Jalan Damansara yang kini diambil alih Rozita Che Wan dan rakan kongsinya, Afeeq, satu majlis hari lahir bertemakan dalam taman diadakan.

Ia bersempena dengan sambutan hari lahir cinta hati kesayangan Rozita dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana yang genap satu tahun pada 1 November. Banglo lokasi acara ini diberi nama White Palace.

Rozita menghadiahkan anak kesayangannya seutas rantai leher berlian. Diusik persoalan berapa harga rantai berkenaan, kakak kepada Ayu Raudhah itu enggan mendedahkannya.

"Nanti kalau sebut harga orang cakap saya riak pula. Lebih baik saya berahsia. Tak apalah, tak salah pun nak beri hadiah kepada darah daging atau orang yang kita sayang.

"Sebelum ini, saya bawa jurugambar bercuti pun orang cakap riak. Itu belum saya ada jet peribadi lagi, gamaknya lagi teruk saya dihentam itu dan ini," katanya membuka bicara.


ROZITA bersama suami, Zain Saidin dan anaknya, Aaisyah di majlis sambutan hari lahir di White Place. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bercerita lanjut mengenai anak perempuan kesayangannya itu, Rozita tak sedar begitu pantas masa berlalu dan anaknya terus membesar.

"Macam sekejap saja rasa, tup tup dia sudah besar. Macam baharu rasa saya meneran lahirkan dia sebenarnya. Alhamdulillah, selama ini dia anak yang baik dan tak memberi masalah.

"Tengoklah bagaimana dia boleh senang tidur. Di atas riba saya pun dia boleh tidur. Sekarang ini dia masih belum berjalan. Hanya meniti di tempat yang boleh berpaut.

"Setahun ini pun, berat badannya makin menyusut. Biasalah, kalau sudah aktif. Gigi pun baharu tumbuh satu. Kalau boleh memang saya tak mahu dia berjalan lagi.

"Bayangkan kalau sudah berjalan, macam-macam dia akan buat. Cakap bab tidur, dia tidur sekitar jam 12 tengah malam tetapi bangunnya memang lewat sampai jam 2 atau 3 petang.

"Saya pun ajar dia tidur sekali. Selalunya dia akan diapit saya dan Zain. Memang tak boleh bagi dia tidur tepi, nanti silap hari bulan dapat adik lagi," seloroh Rozita yang anggun mengenakan rekaan Qudyn.


ANAK-anak lelaki Rozita iaitu Ammar Effendy (kiri) dan Aniq Ezzra pada majlis sambutan hari lahir Aaisyah di White Place. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Aaisyah turut mendapat persalinan gaun putih yang direka khusus oleh pereka terkenal Man Kajang.

"Saya rasa apabila ibu bapanya bergelar selebriti, anak pun secara tak langsung mendapat tempias. Alhamdulillah ada orang yang sudi menaja. Apabila bila ada yang menaja, tak payah keluarkan duit.

"Ini semua rezeki. Saya doakan mereka yang bermurah hati ini akan terus dimurahkan rezeki," katanya.

Mengenai White Palace, Rozita memberitahu banglo itu akan menjadi lokasi untuk disewakan mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan acara tertentu.

"Tempat ini belum siap sepenuhnya. Jangka dalam bulan Januari depan, ia akan beroperasi secara total. Tempat ini boleh dijadikan lokasi untuk majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, majlis pelancaran atau apa sahaja untuk mereka yang berminat menyewanya.

Banglo dua tingkat ini ada 12 bilik, ada kolam renang dan boleh memuatkan 1000 orang," katanya.

Ditanya soal kerjaya, Rozita yang sudah lama tidak berlakon akan kembali ke lokasi penggambaran drama 30 episod berjudul Kak Marr terbitan Zeel Production.

Asalnya penggambaran mahu dilakukan di Langkawi tetapi kerana mahu mendapatkan juga Rozita, ia hanya akan dilangsungkan di Kuala Lumpur sahaja.

"Saya akan mula penggambaran pada 9 November ini. Memang sebelum ini saya cakap kalau nak berlakon dengan produksi Zeel sahaja. Mereka sedia berkompromi dengan saya.

"Nak berlakon di KL, ia memang agak leceh kerana saya perlu menjaga anak pada masa yang sama. Jadi mereka bersetuju untuk buat di KL sahaja," katanya.

Berita Harian X