Rabu, 4 November 2015 | 12:08am
HANYA pengumpul bertuah saja dapat memiliki barang yang benar-benar bernilai tinggi dan menjadi buruan pengumpul lain. - Foto Zunnur Al Shafiq
BARANG antik yang dijual oleh Abdul Azis di Amcorp Mall memiliki nilai estetika tersendiri. - Foto Zunnur Al Shafiq

Saintis kelapa sawit jual barangan antik

RUTIN beliau setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat sememangnya mencabar. Pada usia 68 tahun, ketika individu lain seusianya hanya duduk di rumah meniti usia tua, Prof Dr Abdul Azis Ariffin, masih memerah keringat di makmal miliknya di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghasilkan teknologi terbaharu berkaitan industri kelapa sawit.

Bergelar pakar kelapa sawit, Dr Abdul Azis yang berkecimpung dalam industri kelapa sawit hampir 40 tahun itu sudah mampu mengukir senyuman bangga kerana berjaya mengukir nama di persada antarabangsa dengan mencipta teknologi peleraian menggunakan tekanan wap tinggi yang dikenali sebagai Robo-Rest.

Dengan gelaran dan status yang dimiliki, mungkin ramai beranggapan beliau suka menyendiri sambil menelaah buku ilmiah di sudut bacaan. Namun, siapa sangka bapa kepada tiga anak ini mempunyai sisi yang cukup berbeza dengan rutin hariannya iaitu mengumpul dan menjual barang antik.

Setibanya Sabtu dan Ahad, uniform yang dipakainya setiap hari itu dicampak jauh-jauh. Dengan hanya berkemeja T dan berseluar pendek, Dr Abdul Azis kelihatan sama seperti penjual barang antik lain yang berada di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Dalam pada itu, barangan antik sering digambarkan mempunyai unsur mistik sesuai dengan usia ratusan tahun. Sering kali, barangan antik dikatakan 'dijaga' oleh makhluk halus seperti yang sering dipaparkan dalam cerita seram di pelbagai media.

Perkara ini diakui sendiri Dr Abdul Azis. Namun kemistikan yang dimaksudkan beliau ialah 'semangat' yang mencetuskan keinginan pengumpul barangan antik untuk mendapatkannya.

Bagi Dr Abdul Azis, setiap barangan antik mempunyai sejarah dan latar belakang yang tersendiri kerana ia berasal dari pelbagai tempat dengan budaya dan kepercayaan unik, sekali gus mencetuskan unsur mistik tersendiri pada sesuatu koleksi.

"Namun, perkara mistik itu bukannya bermaksud unsur jahat atau bahaya...ia adalah semangat yang ada pada sesebuah barangan antik dalam menarik pelanggan untuk membelinya dan dijadikan koleksi peribadi.

"Saya sendiri tidak pernah mengalaminya tetapi ia berlaku pada orang lain...ada pembeli bila lalu di depan gerai saya, pasti akan datang balik dan terus pegang barang itu sebelum membelinya.


ABDUL Azis antara peniaga barang antik di Amcorp Mall, Petaling Jaya. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Bila saya tanya kepada dia (pembeli), apa yang membuatkan dia berpatah balik dan ingin membeli barangan saya, dia menjawab...barangan (antik) yang saya jual seperti ada semangat yang menarik beliau untuk memegang dan memilikinya," katanya yang mula berniaga di kompleks membeli-belah itu pada tahun 2004.

Dr Abdul Azis berkata, antara koleksi pertama yang dimilikinya adalah loceng diperbuat daripada besi yang dibeli di Columbia dengan ukiran Columbia 1890.

"Saya beli dengan harga tidak sampai AS$10. Bermula dari situ, saya mula gila mengumpul pelbagai jenis loceng. Ke mana saja saya pergi, saya pasti akan mencari loceng antik di samping barangan antik lain," katanya yang gemar melancong selain mengumpul barangan antik.

Dr Abdul Azis mula mengumpul barang antik sejak 20 tahun lalu dan sehingga hari ini beliau sudah memiliki lebih 2,000 loceng dan separuh daripada koleksinya itu sudah dijual atas permintaan rakan dan pelanggan setia.

"Paling mahal loceng yang pernah saya jual ialah loceng logam ada ukiran Made In England buatan tahun 1899. Saya jual pada harga RM500," katanya.


ABDUL Azis (dua dari kanan) melayan pelanggan yang berkunjung di premisnya di Amcorp Mall, Petaling Jaya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mengakui barang antik ini mempunyai nilai estetika tersendiri, Dr Abdul Azis berkata barangan antik tidak sama seperti barangan lama.

"Barang lama kita boleh dapat dengan senang contohnya Proton Saga...kita masih lihat ia di atas jalan. Tetapi antik ini, sangat terhad keluarannya. Hanya pengumpul bertuah saja dapat memiliki barang yang benar-benar bernilai tinggi dan menjadi buruan pengumpul lain," katanya.

Dr Abdul Azis berkata, penjagaan barangan antik tidaklah cerewet seperti menjaga barangan baharu.

"Bila kita beli barangan lama lepas tu kita bersihkan, bagi berkilat, maknanya dah tiada nilai antik lagi. Bila nilai itu tiada, tak guna kita berniaga.

"Barangan antik ini umpama nuklear... kita beli dengan modal yang kecil tetapi jika dapat yakinkan pembeli bahawa barangan antik ini ada sejarah dan keistimewaannya yang tersendiri, barang itu akan membawa pulangan yang tinggi," katanya.


SETIAP barangan antik mempunyai sejarah dan latar belakang yang tersendiri . - Foto Zunnur Al Shafiq

Ditanya bagaimana timbulnya minat untuk mengumpul dan menjual barangan antik, bapa kepada tiga anak ini berkata, segalanya bermula ketika dia menjejakkan kaki ke Columbia, negara paling utara di benua Amerika Selatan, pada tahun 2004.

"Pertama kali saya berada di bumi Columbia, perkara utama yang paling saya kagumi adalah tinggalan sejarah serta bangunan lamanya yang dijaga rapi.

"Di negara itu, barang lama atau antik, bangunan dan monumen lama umpama harta paling bernilai bagi mereka. Barang antik di sana juga begitu mengagumkan saya di mana kebanyakannya memang susah untuk dilihat di mana-mana.

"Bermula dari situ, saya mula mengumpul objek-objek kecil seperti loceng dan 'statue' diperbuat daripada besi atau timah kerana ia kelihatan lebih antik dan ada nilai sejarah, selain tahan lama," katanya.

Bagaimanapun, anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata, sebelum membeli sesuatu koleksi, beliau akan bertanya kepada diri sendiri terlebih dahulu adakah ia berbaloi dan disukai orang lain kerana tidak semua barang antik itu akan diminati pengumpul lain.


ANTARA barang antik yang dijual oleh Abdul Azis di Amcorp Mall. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Jika nak berniaga kena terima pandangan orang lain juga, barulah tak syok sendiri," katanya.

Mendedahkan bagaimana sesuatu barangan antik itu dinilai, Dr Abdul Azis berkata, harga setiap koleksi itu ditentukan mengikut rupa, keunikan, tahun dibuat dan asal negara pembuat.

Katanya, jika terdapat nama pengukir atau pembuat pada barang antik berkenaan, maka lagi tinggilah nilainya.

Mengakui lumrah sebagai peniaga, ada hari untung besar dan ada hari hanya makan pasir, Dr Abdul Azis berkata setiap penjual barangan antik harus kuat dan tidak mudah putus asa dengan rezeki yang sudah ditentukan.

"Cabaran penjual barang antik ini memang besar, bukan semua orang suka barang antik yang kita jual. Ada hari, pengunjung hanya datang dan lihat. Ada hari, sampai tidak menang tangan nak layan," katanya.


LOCENG logam antara barang antik yang dijual Abdul Azis. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dr Abdul Azis mengakui pelanggan yang mengunjungi gerainya terdiri daripada mempunyai sifat dan ragam selain kelakuan yang agak pelik.

"Walaupun sudah tahu barang itu barang lama, tetapi ada yang cerewet dan tanya macam-macam. Ada juga yang langsung tak kisah dan hanya tunjuk kolkesi yang ingin dibeli.

"Ada seorang doktor ini akan datang dalam tiga bulan sekali. Jika dia datang, doktor ini hanya akan tunjuk saya barang yang dia mahu dan terus bayar pakai cek tanpa banyak soal," katanya.

Sementara itu, berbeza dengan penjual lain yang hanya menunggu pelanggan, Dr Abdul Azis mempunyai cara tersendiri untuk menjerat pengunjung supaya terus lekat dengan koleksi antiknya.

"Jika saya lihat pengunjung itu berminat dengan koleksi saya, saya akan ajak dia bercerita mengenai macam-macam perkara. Kebiasaannya saya tidak akan terus menyentuh mengenai barang antik itu tetapi lebih kepada mengenai negara asal barangan berkenaan.

"Dari isu dunia hinggalah mengenai negara yang pernah saya lawati, semua itu saya kongsikan dengan pembeli. Jadi, selain membeli dan bertanya, pembeli juga mendapat lebih pengetahuan," katanya yang sudah mengembara ke lebih 20 negara.


BARANGAN antik sering digambarkan mempunyai unsur mistik sesuai dengan usia ratusan tahun. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dr Abdul Azis berkata, beliau turut bertuah kerana memiliki keluarga yang cukup memahami akan hobinya yang pelik itu.

"Di rumah, isteri yang juga peminat barang antik memperuntukkan sudut khas untuk meletakkan koleksi antik kami. Pada mulanya memang agak sukar untuk menjual kerana apa sahaja barang yang cantik, isteri tak bagi jual. Sayang katanya.

"Namun, saya terangkan kepada isteri jika mahu barang yang lebih bernilai kita kena buka minda dan jangan terlalu cerewet," katanya.

Dali, anak Dr Abdul Azis, mengakui biarpun hobi bapanya itu kelihatan agak remeh dan kadang kala dianggap kuno, ia boleh mendatangkan pendapatan lumayan.

Pemuda berusia 34 tahun itu berkata, walaupun tidak berminat untuk mengumpul barangan antik tetapi dia dan adik beradik lain akan menghadiahkan bapanya barangan antik yang dibeli di luar negara ketika melancong.

"Adik-beradik semua suka melancong. Sesiapa yang keluar mesti akan beli untuk bapa. Kalau ternampak dekat sini (ibu negara) juga, kami akan call (hubungi) ayah bagi tahu di mana tempat menjual barang antik itu," katanya.

Dali yang turut memiliki galeri lukisan di Damansara Utama berkata, beliau menyokong hobi bapanya itu kerana melihat ia mampu menjana pendapatan yang agak lumayan.

"Elok juga ayah buat benda ini daripada tak buat apa kat rumah. Lagipun hobi ini mampu mendatangkan duit kepada dia," katanya.

Berita Harian X