Rabu, 4 November 2015 | 6:36pm

Diskaun 10 peratus tol sempena Deepavali

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Deepavali 10 November ini, empat lagi lebuh raya mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 10 peratus bermula pada awal pagi hingga tengah malam hari sama.

Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) kendalian IJM Corporation Berhad dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) milik ANIH Berhad.

Sebelum ini, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan lebuh raya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT) mengumumkan diskaun tol antara 20 hingga 60 sen untuk semua jenis kenderaan yang menggunakan laluan lebuh raya berkenaan pada hari Deepavali.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff, berkata pemberian diskaun di BESRAYA, NPE dan LEKAS akan bermula pada 12.01 pagi hingga 12.00 tengah malam pada perayaan Deepavali itu membabitkan laluan bagi kenderaan kelas satu.

"Ini adalah inisiatif tanggungjawab korporat syarikat untuk manfaat orang ramai serta penghargaan kepada sokongan berterusan pengguna lebuh raya.

"Bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat sepanjang musim perayaan ini, kami menyeru pengguna lebuh raya membuat perancangan perjalanan. Selain itu, dinasihatkan mendapatkan maklumat mengenai keadaan trafik melalui laman web Travel Smarter di www.travelsmarter.com.my).

"Kami juga mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Deepavali kepada pengguna lebuh raya terutama kepada mereka yang beragama Hindu," katanya.

Sementara itu, Pengarah ANIH, Nik Fauzi Nik Hussein, berkata pemberian diskaun 10 peratus itu bermula pada jam 12 tengah malam hingga 11.59 tengah malam pada 10 November untuk semua kelas kenderaan yang menggunakan lorong Touch N Go dan SmartTAG.

"Pemberian diskaun ini adalah tanggungjawab korporat syarikat kami dalam menggalakkan pengguna memilih lebuh raya untuk memulakan perjalanan dan melawat keluarga sepanjang musim perayaan ini.

"Dalam masa yang sama, langkah ini juga bagi menggalakkan penggunaan pembayaran secara elektronik kad Touch N Go dan SmartTAG," katanya.

Untuk keterangan lanjut, boleh melawat laman web www.anihberhad.com atau Twitter di @LPTTrafik.

Berita Harian X