Khamis, 5 November 2015 | 12:03am

Simbol kekuatan orang Melayu


PENULIS buku Nurani Tanah Melayu, Henri Fauconnier. - Foto NSTP

SEJAK 84 tahun lalu, novel berteraskan rakaman sejarah mengenai citra kehidupan, budaya, adat resam, keindahan bahasa dan kesusasteraan Melayu daripada kaca mata lelaki Perancis, Henri Fauconnier yang berkelana ke Tanah Melayu sudah diterbitkan dalam bahasa Perancis.

Novel Malaisie yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia termasuk bahasa Inggeris dengan tajuk The Soul of Malaya oleh penterjemahnya, Eric Sutton, malangnya tercicir untuk dipindahkan ke bahasa Melayu.

Inisiatif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang akhirnya tampil menterjemah buku itu wajar dipuji, apatah lagi ia menyaksikan kerjasama bersama Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh yang banyak menterjemahkan karya sastera hebat.

Nurani Tanah Melayu tajuk novel Malaisie yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, menanggapi dimensi baharu kehidupan yang dilalui dua pengurus estet, Lescale dan Rolain di Kuala Sampah, di negeri Sanggor yang secara perlahan-lahan menyesuaikan diri, sekali gus mempelajari adat budaya pelbagai kaum di Tanah Melayu.

Wajah Tanah Melayu dipersembahkan secara terperinci mengikut gaya kefahaman Fauconnier menyerlahkan kecintaannya terhadap sisi budaya masyarakat tempatan yang dihuraikan dalam empat bab utama iaitu Penanam Getah, Pondok Nibung, Kembara dan Amuk.

Cerminkan realiti sendiri 

Walaupun Fauconnier tidak menampilkan dirinya sebagai watak utama, kebanyakan kisah yang diadun dalam gaya fiksyen itu mencerminkan realiti sepanjang beliau berkelana ke Tanah Melayu bermula tahun 1905 untuk memulakan penanaman getah.

Kebanyakan kisah menarik perhatian antaranya bagaimana Lescale dan Rolain bekerja dengan masyarakat tempatan di ladang getah yang majoritinya terdiri daripada bangsa India, sekali gus turut menampilkan kisah perbezaan kasta.

Lebih menarik, banyak pantun Melayu yang menghiasi setiap bab, malah Fauconnier turut menulis bahawa beliau terpikat dengan bait indah dan kiasan dalam khazanah puisi tradisional Melayu itu yang menunjukkan kesantunan masyarakatnya dalam berbahasa.

Keindahan sastera Melayu watak pembantu Lescale, iaitu Ngah dan Smail yang mengajaknya membaca buku dongeng lama seperti Cerita Kutu di Dalam Hutan dan Pak Belalang pula menunjukkan kebanggaan masyarakat dulu dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan.


BUKU Nurani Tanah Melayu oleh Henri Fauconnier. - Foto NSTP

Fokus perlu sepenuhnya

Bagaimanapun, plot novel yang tidak begitu tersusun sedikit sebanyak agak mengelirukan pembaca, tetapi ia masih boleh difahami sekiranya fokus penuh diberikan sepanjang proses pembacaan.

Perbezaan dimensi masa ketika Fauconnier mula menulis naskhah yang diterbitkan pada tahun 1931 itu dengan gaya penulisan hari ini dan perubahan cara hidup masyarakat mungkin antara perkara yang membataskan untuk pembaca menghayati Nurani Tanah Melayu.

Penulis juga cukup tertarik dengan rangkaian lukisan yang memaparkan gaya hidup masyarakat di Tanah Melayu ketika itu antaranya gaya rumah tradisional, pekerja ladang getah sedang bekerja dan wajah gadis Melayu.

Secara keseluruhannya, Nurani Tanah Melayu ialah simbolik kepada kekuatan Melayu yang selama ini sering dipandang rendah oleh masyarakatnya sendiri, sedangkan ia dihormati oleh orang asing yang mengambil peluang mendalami keunikan budaya dan keseniannya.

Membacanya berupaya membuka nurani dan minda masyarakat supaya teguh kepada akarnya, tegar dalam menjaga kedaulatan bangsa dan lebih patriotik seperti saratnya cinta Fauconnier kepada Tanah Melayu.

      

INFO

Malaise   

    Penulis : Henri Fauconnie/il>

    Halaman: 182/il>

    Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)/il>

    Penilaian: *****

PROFIL

Henri Fauconnier

    Lahir di Musset, Barbezieux, Perancis pada 26 Februari 1879.    

    Kedatangan Fauconnier ke Tanah Melayu pada tahun 1905 bertujuan membuka ladang getah di Batang Berjuntai (kini dikenali sebagai Bestari Jaya), Selangor dan kemudian mencatat sejarah sebagai orang pertama yang memperkenalkan benih kelapa sawit di sini.

    Karya beliau, Malaisie yang diterbitkan pada tahun 1931 mendapat perhatian ramai sehingga memenangi anugerah sastera tersohor Perancis, Prix Goncourt 

 

65 dibaca
Berita Harian X