Khamis, 5 November 2015 | 12:06am
PENTAS ASK 2015 adalah kali ketiga Fara Fauzana menjadi pengacara. - Foto Nizar Hafiz Mustafa
PENTAS ASK 2015 menjadi pentas pengacaraan sulung buat Awie mengacarakan majlis berskala besar. - Foto Nizar Hafiz Mustafa

Fara Fauzana tidak sabar nak bersama Awie



TANPA berselindung, Fara Fauzana mengakui yang dia cukup meminati pelakon dan penyanyi rock, Awie. Sebelum bergelar penyampai radio dan anak seni lagi, Awie dan kumpulan Wings yang dianggotainya menjadi pilihannya untuk berhibur.

Fara mengakui mengenali Awie bermula sebagai peminat dan seterusnya sebagai teman seperjuangan. Kini mereka berkongsi pentas pula sebagai hos menerusi Anugerah Skrin (ASK) 2015.

Seperti orang lain, bukan pelik pun jika artis itu seperti Fara sendiri meminati artis lain. Penyampai radio Hot FM itu tidak terkecuali. Bagi Fara, Awie antara Hero Malaya yang diminatinya sejak zaman filem Sembilu lagi.

Selain lakonan, kerjaya nyanyian Awie bersama Wings tak ketinggalan diminati bekas pengacara Melodi dan Nona di TV3 itu selain menonton konsert kumpulan itu.

"Zaman dulu, tak ramai sangat hero filem. Awie memang salah seorang yang saya minat. Zaman filem Sembilu itu kira kemuncaklah. Ia jadi pakej, kerana selain Awie saya juga meminati Ziana Zain yang berlakon dalam filem yang mencipta fenomena awal 90-an itu. Suaranya ketika menyanyi juga menarik. Lagu dendangannya juga senang dibawakan dengan keupayaan vokal saya pada tahap asas.


BAGI Fara, Awie antara Hero Malaya yang diminatinya sejak zaman filem Sembilu lagi. - Foto Nizar Hafiz Mustafa

"Jadi kalau berkaraoke, lagu Awie antara pilihan saya. Boleh dikatakan saya hafal semua lagunya bersama Wings selain lagu solonya. Antara lagu kegemaran saya seperti Tragedi Oktober, Ratuku dan Iris. Bab album, dulu masa zaman belajar tak ada duit nak beli. Mujur saya ada abang sepupu yang peminat tegar rock kapak yang mengajar saya.

"Saya panggil dia Abang Baha (abang sepupu berkenaan. Selalunya menerusi dialah saya dengar kaset ketika zaman itu termasuk lagu dari kumpulan Wings dan Awie. Ibaratnya saya membesar dengan lagu rock kapak menerusinya. Cuma ketika zaman bekerja menjadi penyampai radio, album artis itu diberi percuma kepada stesen radio... jadi dapatlah mainkan dalam kereta mengisi halwa telinga," katanya.

Bagaimana rasanya berkongsi pentas ASK 2015 dengan Awie?

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bermula sebagai peminatnya. Selepas bekerja sebagai penyampai radio dan membabitkan kerja seni, Awie saya kenali sebagai kawan pula. Sekarang bekerja pula dengan dia di pentas ASK 2015. Ketika berborak dengannya saya selesa jadi 'nakal' dan mengusiknya. Itu cara saya nak pastikan rakan kerja selesa dengan kita.

"Ini semua perlu supaya saya tidak terlalu segan atau wujud kejanggalan antara kami. Saya sebenarnya tebalkan muka dan nampak selamba. Tapi dalam hati, hanya Tuhan sahaja tahu gementar bekerja di sisi Awie. Awie secara peribadi saya mengenalinya macam kita selalu nampaklah. Cukup dia boleh menerima dan melayan apa yang saya berikan dan bertindak balas itu sudah cukup bagus dalam kerja mengacara.

"Perasaan saya memang bercampur baur di sisinya. Cuma dalam paksi profesionalisme saya kena buangkan status peminat itu. Kalau tak, memang tak jalan kerja," katanya yang berharap semua berjalan lancar.


PENGACARA ASK 2015, Awie dan Fara Fauzana pada sidang media Anugerah Skrin 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ahad ini akan berlangsungnya kemuncak ASK 2015 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Selain tumpuan kepada 31 kategori dipertandingkan yang meliputi 12 kategori drama, tujuh kategori filem, enam kategori penerbitan dalaman dan enam kategori teknikal, tumpuan juga pastinya akan diberikan kepada gandingan hos utama iaitu Awie dan Fara Fauzana.

Bagaimana keserasian mereka buat pertama kali bersama di pentas berprestij anugerah kebanggaan TV3 itu hanya akan terjawab Ahad ini. Selain mengacara, kedua-duanya juga turut akan menyanyi dan menari di pembukaan acara itu yang akan dipancarkan secara langsung di TV3 selain boleh dilayari secara global melalui komputer, tablet dan telefon pintar menerusi laman web rasmi www.anugerahskrin.com.

Pentas ASK 2015 menjadi pentas pengacaraan sulung buat Awie mengacarakan majlis berskala besar. Namun bagi Fara pula ia kali ketiga buatnya.

Bagi Awie, dunia pengacaraan bukan asing baginya. Dia pernah mengacarakan sebuah majlis anugerah sebagai pengacara segmen beberapa tahun lalu dan pada 2012, penyanyi yang juga pelakon berbakat besar ini dilamar TV3 untuk menjadi hos program Tunggu Sekejap. Siapa sangka akhirnya tuah menyebelahi Awie untuk mengacarakan ASK 2015 pula.


PENGURUS Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Mohamed Nordin (tiga dari kiri) dan Pengasas Lynaz Beauty Care, Datin Lynaz Hassan (empat dari kiri) bersama pengacara ASK 2015, Fara Fauzana (tiga dari kanan) serta Awie pada sidang media di Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya gemar mencabar diri dan ini yang saya lakukan selepas bersetuju menerima tawaran mengacarakan ASK 2015 ini. Ia program berskala besar yang pertama buat saya. Cuma saya tak pasti keadaan saya pada malam kemuncak ini nanti. Adakah saya akan selesa dengan cabaran ini. Bukan setakat mengacara, saya juga perlu menari dan menyanyi. Sekalipun menyanyi makanan saya, gabungan semua ini buat ia jadi cukup mencabar.

"Saya tawakal sahajalah. Apa nak jadi... jadilah. Insya-Allah seiring dengan itu, saya mengharapkan kehadiran kami akan memberi warna kepada acara ini. Pada masa yang sama, saya juga teruja nak lihat dan menunggu reaksi penonton serta peminat sama ada kerja pengacaraan ini sesuai dengan saya atau sebaliknya. Ia memang benda baru dan besar buat saya," kata Awie.

Bagaimana pertama kali bergandingan dengan Fara?

"Saya sejujurnya sudah mula nampak keselesaan dengan Fara sejak kami terbabit pada hari pertama melakukan promosi ASK 2015. Saya harap keselesaan itu berpanjangan sampailah Ahad ini. Fara yang saya kenali, dia sebenarnya sangat selamba. Jadi tak ada masalah untuk itu kerana saya juga selamba orangnya.

"Cuma kalau daripada ukuran pengalaman kerja mengacara, dia lebih banyak pendedahan. Saya memang kurang pengalaman itu. Tetapi, Fara sangat supportif dan saya sering bertanya jika ada kemusykilan bertandang. Tanggung jawab ini juga bukan hanya hal kami semata-mata, ia juga berbalik kepada soal kerja pasukan untuk memastikan ASK 2015 berjaya," kata Awie.


FARA mengakui mengenali Awie bermula sebagai peminat dan seterusnya sebagai teman seperjuangan. - Foto Nizar Hafiz Mustafa

Fara di mata Awie?

"Dia sangat happy go lucky. Kami sudah jadi kawan. Dia kuat menyakat juga," kata penyanyi yang baharu sahaja terbabit dengan konsert Wings di Stadium Merdeka bersempena 30 tahun kewujudannya.

Awie dan Fara turut ditampilkan sebagai wajah muka depan majalah digital oad Zon Interaktif Pesona (ZIP) edisi terbaharu. Nak baca cerita mereka jangan lupa muat turun di telefon pintar anda kerana ia percuma.

Info ASK 2015

  • Karpet merah akan dikendalikan Hani Hatim, Muadz dan Ain Edruce.
  • Segmen persembahan ASK 2015 seperti Remy Ishak, Nabila Huda, Nur Fathia, Ungku Ismail Aziz, Raja Ilya, Amir Jahari, Izzue Islam, Ayda Jebat, Zahiril Adzim, Marsha Londoh, Toi, Azmil Mentor Legend, Sarah Mentor Legend, Asmidar, De Fam, Alyah, Fauziah Ahmad Daud, Liyana Jasmay, Khir Rahman dan Fauzi Nawawi.
  • Barisan penyampai anugerah pula bakal diserikan Fazura, Maya Karin, Erma Fatima, Que Haidar, Hans Isaac, Faizal Hussein, Izreen Azminda, Nadiya Nissa dan Sharifah Amani.
  • Antara drama yang layak bertanding ialah Ada Sejadah Panjang Terbentang, Cahaya Cinta, Cahaya Malaika, Dari Pintu Neraka, Hak, Jalan Taubat dan Kereta Kita. Tidak ketinggalan drama Kerana Seorang Ammar, Lorong Kecil Ke Syurga, Penyabong, Pulangnya Tok Misai, Sebentuk Kunci Sedetik Cinta, Seligar, Sujud Ibuku, Sinar Ya Rob dan Talak.
  • Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2015 menerima pencalonan seperti Angin Syurga, Astana Cinta Aleesa, Cinta Ilahi, Hidayahmu Ramadan, Mukhlis, Puteri Gunung Ledang, Tabuh Merdeka dan Zahira. Kategori drama rantaian komedi pula yang menerima pencalonan seperti Asam Pedas Untuk Dia, Menantu Mak Uteh dan RubberBand.
  • Kategori filem yang layak bertanding pula termasuk Mat Tudung, Adnan Sempit Sawadikap, Mamak Cupcake, Lagenda Budak Setan 3, Kasyah, Nasi Tangas, Amir & Lokman Pergi Kelaut, Dollah Superstar, Dendam Orang Mati, Anak Jantan, Kelibat, Lelaki Harapan Dunia, Gila Baby dan Manisnya Cinta Di Cappadocia.
  • Turut berentap ialah filem Ophilia, Terbaik Dari Langit, Villa Nabila, Suamiku Encik Perfect 10, Puaka Balai Gombak, Jalan Puncak Alam, Cicakman 3, Isyarat Cinta, Jengka, Hantu Bungkus Ikat Tepi, Pilot Café dan Suamiku Ustaz. Anugerah Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial yang diperkenalkan pada tahun lalu dan kini dikenali sebagai Anugerah Drama Rantaian Popular Media Sosial menyaksikan saingan antara Rindu Awak 200%, Setitis Kasih Darmia dan Tentang Hati.
Berita Harian X