Khamis, 5 November 2015 | 9:21am

Laluan Gopeng-Tapah dibuka semula pagi tadi


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menyembur air bagi mengawal kebocoran gas melalui cara penyejukan udara bagi melepaskan gas ke udara dalam kejadian kebocoran Gas LPG di KM311, Lebuhraya Utara-Selatan Arah Utara, semalam. - Foto BERNAMA

IPOH: Laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara susur keluar Gopeng dan Tapah dibuka semula kepada pengguna jam 3.50 pagi tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madis, berkata laluan dibuka selepas kerja-kerja mengeluarkan gas petroleum cecair (LPG) dari sebuah lori tangki yang mengalami kebocoran ketika melalui Kilometer 311 lebuh raya berkenaan, selesai.

Katanya, anggota HAZMAT selesai melakukan tugas berkenaan pada jam 2.45 pagi sebelum laluan dibuka semula sejam kemudian.

"Tiada lagi sebarang bahaya dan lori syarikat itu diletakkan di kawasan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng," katanya di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, walaupun dibuka pihak bomba membuat pemantauan kali kedua di lokasi berkenaan.

Pihak pengurusan PLUS terpaksa menutup laluan antara kedua-dua susur keluar berkenaan sejak jam 12 tengah hari semalam bagi kerja-kerja pelepasan LPG dilakukan.

Berikutan itu aliran trafik pengguna lebuh raya dialihkan memasuki susur keluar Gopeng atau Tapah. 

21 dibaca
Berita Harian X