Khamis, 5 November 2015 | 3:05pm

Deepavali: 18 barang kawalan tidak naik harga

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin (dua dari kanan) membuat tinjauan di pasar Sentul, melihat sendiri penjualan barangan harian kepada pengguna sempena Deepavali yang menjelang tiba. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tinjauan di pasar Sentul di sini hari ini mendapati tiada peniaga menaikkan harga 18 jenis barangan terkawal sempena perayaan Deepavali, malah ada yang menjualnya lebih rendah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainudin.

"Walaupun kita telah tetapkan harga siling ada juga peniaga yang letakkan harga lebih murah dan saya rasa ia disebabkan 'market force' sesama mereka.

"Misalnya harga tomato kita tetapkan RM3.50 sekilogram, ramai juga yang jual pada harga RM3.00. Situasi ini akan menguntungkan pengguna," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan itu.

Beliau berkata, walaupun baru memasuki hari pertama, kementerian sentiasa ada "mata dan telinga" dan akan memastikan pemantauan rapi dibuat setiap hari sehingga 14 November.

Sebelum ini, KPDNKK menyenaraikan 18 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Deepavali yang akan disambut 10 November ini.

Antara barangannya adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging paha kambing biri -biri import bertulang, daging paha kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang.

- BERNAMA

Berita Harian X