Khamis, 5 November 2015 | 4:48pm

PKNS komited terapkan budaya usahawan kepada pelajar menerusi PROTUNe


PENGURUS Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azlan Md Alifiah (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Syarikat Terbaik iaitu Syarikat Global Setia Sdn Bhd dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia pada Konvensyen Program Tunas Niasa (PROTUNe) Ke-18 2015 anjuran PKNS dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor hari ini.Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Zainuren Mohd Nor (enam dari kiri).- Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited untuk menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar menerusi Program Perintis Usahawan dan Program Tunas Niaga (PROTUNe).

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata program itu dilihat mampu membuka mata dan minda pelajar untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya yang menguntungkan pada masa hadapan.

"Kita lihat PROTUNe yang bermula pada 1998 dengan hanya 10 sekolah kini diperluaskan dengan penyertaan 49 sekolah, membabitkan 777 syarikat sendirian berhad.

"Program ini disifatkan berjaya kerana telah melahirkan ramai usahawan dalam talian (online) selain membuka perniagaan di kompleks PKNS dan di kawasan mereka masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PROTUNe 2015 di sini, hari ini.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Zainuren Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Azlan berkata pihaknya berharap lebih banyak sekolah di negeri itu merebut peluang dan menyertai PROTUNe.

"Pelajar yang didedahkan kepada aktiviti keusahawanan dapat menjana pendapatan sendiri selepas tamat persekolahan. Oleh itu mereka tidak perlu bergantung dengan peluang pekerjaan di luar," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, syarikat Global Setia Sdn. Bhd yang dimiliki oleh para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak, dinobatkan sebagai syarikat terbaik mengatasi 29 sekolah lain yang menyertai PROTUNe.

- BERNAMA

25 dibaca
Berita Harian X