Jumaat, 6 November 2015 | 8:31pm

Rayani Air pilih Langkawi sebagai hab penerbangan

KAKITANGAN Rayani Air bergambar dihadapan replika Boeing 737 400 yang akan memulakan operasinya pada hujung November 2015 selepas majlis pelancaran syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto Shahrizal Md Noor
KAKITANGAN Rayani Air bergambar dihadapan replika Boeing 737 400 yang akan memulakan operasinya pada hujung November 2015 selepas majlis pelancaran syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto Shahrizal Md Noor

LANGKAWI: Syarikat penerbangan, Rayani Air Sdn Bhd memilih Langkawi sebagai hab penerbangannya dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.

Pengarah Urusannya, Ravi Alagendrran berkata sebagai permulaan, sebuah pesawat Boeing 737-400 akan memulakan operasi dari Langkawi-Kota Baharu manakala satu lagi bagi destinasi Langkawi-Kuala Lumpur.

Katanya, syarikat turut mensasarkan untuk mengembangkan operasi ke China dan India.

"Syarikat merancang memperuntukkan dua pesawat bagi operasi penerbangan luar negara pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di sini hari ini.

Turut hadir Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Mohd Rawi berharap lebih banyak syarikat penerbangan akan mengadakan perkhidmatan ke Langkawi selain Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Firefly dan Malindo Air pada masa ini.

Beliau berkata, penambahan penerbangan ke pulau itu akan meningkatkan jumlah pelancong ke Langkawi daripada 3.5 juta orang ketika ini kepada tahap yang lebih tinggi.

Katanya, pelbagai acara telah disusun sempena Tahun Melawat Kedah pada tahun depan untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negeri ini.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X