Ahad, 8 November 2015 | 12:03am

Kemesraan masyarakat Jahai di Tasik Temenggor

PEMANDANGAN Kampung Aman Damai dari tengah tasik.

DARI kejauhan, sebelum bot menghampiri jeti, sudah kelihatan empat atau lima rumah beratap dan berdinding rumbia bersusun di tebing tasik.

Ada juga dinding rumah yang dibuat daripada anyaman buluh. Kelihatan juga beberapa anak kecil berlari-lari menuju ke jeti untuk menyambut kedatangan kami.

Di jeti pula, terdapat papan tanda Selamat Datang menunjukkan penghuni di sini mengalu-alukan kedatangan tetamu ke kampung mereka.

Suasana di kampung ini memang cukup tenang. Mungkin atas sebab itulah perkampungan ini dinamakan Kampung Aman Damai.

Kedatangan kami disambut dengan senyuman ikhlas. Hilang rasa keletihan kami sepanjang perjalanan menuju ke kampung ini.

Kampung Aman Damai adalah perkampungan Orang Asli dari suku Jahai yang terletak di Tasik Temenggor berhampiran Pulau Banding iaitu dalam kawasan Hutan Simpan Royal Belum di Grik, Perak.

Perkampungan ini adalah antara destinasi persinggahan setiap pelancong atau pelawat yang menyusuri Tasik Temenggor dan Hutan Royal Belum.

WAJAH ceria penduduk Orang Asli di Kampung Aman Damai, Royal Belum ketika menerima tetamu.

Kira-kira satu jam penulis berada di Kampung Aman Damai yang terdiri daripada 17 keluarga membabitkan 80 penduduk. Sepanjang berada di sini, mereka tidak jemu mengukir senyuman ketika disapa atau berbual dengan kami.

Jelas sekali, mereka memang sangat berbesar hati menerima kedatangan kami.

Biarpun Kampung Aman Damai, serba kekurangan, termasuk tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih namun kehidupan penduduknya seperti perkampungan dan taman perumahan di kawasan pinggir bandar, sentiasa tenang.

Kedatangan penulis dan rombongan terdiri 60 peserta yang menaiki enam bot laju di jeti kampung itu pada jam 10 pagi disambut oleh Tok Batin Pangwa Kaltup, 55 dan dua penduduk lelaki mungkin orang kanan di situ.

Sejurus tiba, penulis dan rombongan dipersilakan masuk ke sebuah rumah yang hanya berbumbung yang berukuran separuh gelanggang badminton, berhampiran jeti itu.

WANITA Orang Asli menghentak buluh cetong di atas kayu beluti bagi menghasilkan bunyi mengiringi tarian sewang.

Tinggal di tepi sungai

Kelihatan lima wanita yang duduk di satu sudut rumah itu bersedia untuk membuat persembahan dengan masing-masing memegang dua batang buluh iaitu alat muzik tradisional mereka yang dinamakan Buluh Cetong.

Kami kemudian dipersembahkan dengan Tarian Sewang daripada lima lelaki muda dengan seorang daripadanya sebagai penyanyi utama. Penari yang lain akan mengulangi baris nyanyian penyanyi utama dan bergerak sambil menghentak kaki ke lantai. Tarian mereka diiringi bunyi hentakan Buluh Cetong yang di atas kayu beluti.

Persembahan itu semakin meriah dengan tepuk sorak apabila beberapa tiga peserta turut menarik bersama namun tidak seorang pun di antara penari asal yang tersenyum.

Suku Jahai adalah salah satu daripada 19 kumpulan Orang Asli yang tinggal di Semenanjung. Suku ini diklasifikasikan di bawah susur galur puak Negrito (atau Semang). Mereka menggelarkan diri sebagai Jah Jehai atau Orang Semang.

Fizikal suku Jahai, secara umumnya berbadan rendah dengan kulit gelap dan rambut kerinting. Penempatan Suku Jahai adalah di tepi sungai dan tasik yang terletak di daerah Jeli Kelantan dan daerah Hulu Perak termasuk di pinggir Tasik Temenggor.

PENGUNJUNG sedang melihat tarian sewang.

Demonstrasi buat jerat

Selepas selesai persembahan Tarian Sewang, kami dibawa melihat demonstrasi masakan menggunakan buluh dan ada beberapa orang dari mereka cuba merasai makanan itu. Kami juga diberi peluang membuat sumpit serta damak (pelurunya) iaitu peralatan untuk memburu malah mencubanya. Turut ditunjukkan ialah cara membuat perangkap atau jerat, iaitu rutin harian mereka untuk mendapatkan makanan.

Pada masa sama beberapa peserta kelihatan mengagihkan barangan seperti makanan dan pakaian kepada penduduk termasuk coklat dan biskut kepada kanak-kanak. Namun tidak seorang dalam kalangan mereka yang tersenyum selepas mendapatkan barangan yang diberikan.

Pegawai kurang cekap bagi maklumat

Kunjungan penulis ke Kampung Aman Damai adalah sebahagian daripada program Membiasakan Diri Agar Lebih Mengenali dan Mencintai Royal Belum - Cuti-Cuti 1Malaysia - Dekat Je! anjuran Tourism Malaysia Perak, Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Taman Negeri Perak.

Ia bermatlamat untuk mempopularkan Royal Belum sebagai destinasi pelancongan di Perak. Bagi tujuan itu, penganjur membawa ramai wakil media bagi memaksimumkan hebahan publisiti dalam semua rangkaian media.

ANAK Orang Asli bersama bungkusan akar kayu untuk dijual kepada pengunjung.

Namun begitu, untuk lawatan di Kampung Aman Damai, tiada seorang pun daripada wakil penganjur yang boleh bercerita dengan lancar dan memberikan maklumat penting mengenai perkampungan Orang Asli di sini.

Malahan, ada wakil penganjur seperti terpinga-pinga apabila wakil media bertanyakan mengenai cara hidup dan budaya masyarakat orang Asli suku Jahai.

Penulis yakin penganjur ini tidak akan mampu memberi jawapan dengan meyakinkan sekiranya program ini turut disertai oleh wartawan atau penulis dari media asing yang pastinya akan bertanyakan sesuatu perkara lebih terperinci.

Setiap tarian

Dari segi kebudayaan, pengunjung ke kampung itu dipersembahkan dengan dengan keunikan tarian Sewang iaitu satu daripada adat suku berkenaan.

Pada asalnya tarian itu adalah untuk tujuan pemujaan yang dilakukan dalam bentuk tarian dan nyanyian, diketuai oleh seorang bomoh.

Biarpun tarian itu sudah melalui pembaharuan dalam irama lagu, kostumnya masih kekal dengan pakaian kain batik, irama ketukan buluh dan pemakaian selempang dan tanjak berasaskan daun kelapa.

Kebiasaannya penduduk Orang Asli seakan-akan berpesta kerana tarian ini dilangsungkan selama tiga hingga enam hari mengikut tujuan seperti menyambut kelahiran, ketika kematian, berkhatan, mengubati penyakit dan membuka pantang.

Kini tarian sewang menjadi tarian untuk menyambut tetamu atau pelancong bukan saja menghiburkan malah pelancong berpeluang menari dalam bulatan sambil mengikut irama muzik daripada ketukan buluh dan kayu.

Berita Harian X