Ahad, 8 November 2015 | 8:00am

Kim Swee mahu tutup mulut pengkritik

PENGENDALI sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Owee Ah Chun
PENGENDALI sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Owee Ah Chun

AMMAN: Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee memberi amaran awal kepada pengkritik skuad kebangsaan supaya 'tutup mulut' ketika pasukan itu bakal berdepan Palestin pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Khamis ini.

Peringatan itu termasuk buat Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim yang menyifatkan pertukaran venue perlawanan ke gelanggang berkecuali di Jordan tidak memberi sebarang makna buat Harimau Malaya.

Sebaliknya, Kim Swee menegaskan adalah tidak sesuai untuk mana-mana individu membuat kritikan atau andaian awal ketika pemain negara berhempas pulas dan sedia mencurahkan keringat demi maruah negara walaupun akur mungkin ada yang masih keletihan selepas mengharungi kempen Piala Malaysia.

Pastinya, ada sesuatu yang ingin dibuktikan pengendali dari Melaka itu terutama untuk menebus kekalahan 6-0 kepada Palestin pada aksi pertama kempen itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 Jun lalu.

"Saya agak terkejut dengan apa yang dikatakan sedangkan pemain kita bersusah payah selepas mengharungi Piala Malaysia terus datang ke sini (Jordan) dengan satu tujuan membawa cabaran negara.

"Saya percaya ia masih positif. Pertamanya, isu keselamatan yang jadi perkara utama kepada pertukaran venue malah kita juga masih memiliki maruah untuk bermain pada kempen kelayakan ini.

"Saya tidak terkejut jika ia dikatakan oleh orang luar tetapi ini datang dari orang berpengalaman yang dikatakan berada di peringkat lebih tinggi. Mempertikaikan program kita atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan mendatangkan sebarang faedah," katanya semalam.

Dalam laporan media tempatan semalam, Tiong Kim menyifatkan FAM tidak perlu bersusah payah untuk menukar venue ketika Harimau Malaya kian sukar untuk ke pusingan akhir di pentas Piala Asia 2019.

"Sesuatu yang tidak masuk akal. Walaupun peluang tipis tetapi kita masih ada tiga perlawanan dan apa-apa boleh berlaku. Kita ada latihan yang lebih kepada proses pemulihan dan esok (hari ini) baharu kita berlatih seperti biasa.

"Kita perlu sesuaikan diri dengan cuaca dan perbezaan waktu. Saya tidak nampak banyak perubahan dan pemain yang ada pun sudah berpengalaman walaupun di peringkat remaja," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X