Ahad, 8 November 2015 | 8:41am

Gempa lemah 2.9 Richter landa Ranau

KOTA KINABALU: Gempa bumi lemah berukuran 2.9 skala Richter melanda Ranau tengah malam tadi.

Mengikut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi lemah itu direkodkan pada jam 12.27 malam pada kedudukan 10 kilometer barat daya Ranau.

Gegaran itu hanya dirasai sekitar Ranau.

Kali terakhir gempa susulan direkodkan di Ranau ialah pada 19 Oktober lalu dengan gegaran berukuran 3.4 pada skala Richter.

Hingga kini lebih 120 gempa bumi susulan direkodkan di Ranau sejak gempa bumi bermagnitud 5.9 yang berpusat dekat Gunung Kinabalu pada 5 Jun lalu.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa satu gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter, melanda Luzon di Filipina jam 3.40 pagi tadi.

Kejadian kedua-dua gempa bumi berkenaan tidak membawa ancaman tsunami.

Berita Harian X