Isnin, 9 November 2015 | 3:53pm

Suami isteri antara lima ditahan edar dadah

KETUA Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas dalam serbuan dadah ke sebuah bilik hotel di Jalan Tun Habab, Kota Tinggi Sabtu lalu.- Foto Ahmad Othman

KOTA TINGGI: Lima, termasuk sepasang suami isteri yang bersama anak mereka berusia lapan tahun ditahan kerana mengedar dadah di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Habab, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata serbuan kira-kira jam 6.20 petang itu turut menemui empat paket plastik dipercayai heroin seberat 858 gram, dua paket plastik cerah mengandungi syabu (1.92 gram) dan sebuah penimbang digital.

Katanya, turut dirampas 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba, wang tunai berjumlah RM449, selain menyita tiga kereta jenis Nissan Sentra, Toyota Inova dan Proton Waja dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.

"Suspek pertama berusia 36 tahun beralamat di Taman Gunung Emas, Ulu Tiram, Johor Bahru mempunyai dua rekod dadah dan tiga rekod jenayah manakala suspek kedua, 39 tahun dari Felda Air Tawar 3 mempunyai tiga rekod dadah dan dua rekod jenayah.

"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati suspek ketiga, 21 tahun yang mempunyai talian persaudaraan dengan suspek pertama dan berasal dari Simpang Renggam tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rahmat berkata, suspek wanita berusia 33 tahun itu mempunyai rekod dadah dan mengakui suspek pertama adalah suami dan kanak-kanak lelaki terbabit adalah anak mereka.

Katanya, kanak-kanak itu bagaimanapun dibebaskan oleh perintah mahkamah dan kemudian diserahkan kepada waris mereka di Pontian.

"Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati keempat-empat suspek positif ujian dadah heroin dan syabu.

"Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 November ini untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, nilai rampasan dadah yang dianggarkan RM30, 318 itu mampu membekalkan kepada hampir 500 penagih dadah sekitar bandar Kota Tinggi dan kawasan Felda berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Berita Harian X