Isnin, 9 November 2015 | 7:08pm

Bekalan air berjadual di JB, Kota Tinggi dilanjut

JOHOR BAHRU: Bekalan air secara berjadual bagi kawasan sebahagian daerah ini dan Kota Tinggi akan dilanjutkan sehingga 15 Disember ini, menurut kenyataan dikeluarkan SAJ Holdings Sdn Bhd hari ini.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Jamaluddin Jamil berkata keputusan itu dibuat selepas memperhalusi pelbagai aspek termasuk pengoperasian dan paras bacaan Empangan Sungai Lebam, Kota Tinggi dan Sungai Layang, Masai yang semakin kritikal.

"Lanjutan bekalan air berjadual ini diteruskan selepas diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan rasionalisasi langkah ini relevan untuk memanjangkan lagi tempoh penyimpanan air di kedua-dua empangan terbabit yang terus menunjukkan bacaan paras kritikal terutama Empangan Sungai Lebam yang merekodkan bacaan 8.19 meter.

"Hanya 0.78 meter  untuk mencapai bacaan 7.18 meter bagi paras minimum yang akan menyebabkan proses rawatan air tidak dapat dijalankan.   

"Justeru, keadaan ini menyebabkan bekalan air berjadual sedia ada perlu dilanjutkan dengan penjadualan baharu untuk tempoh bermula 16 November ini sehingga 15 Disember depan," katanya.

Jamaluddin berkata, kedua-dua empangan terbabit menerima taburan hujan sejak beberapa hari lalu, tetapi ia masih tidak mampu meningkatkan paras air empangan.

Bagaimanapun, katanya bekalan air berjadual itu akan terus dikaji dan bergantung kepada keadaan semasa yang mana sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan oleh SAJ kepada pengguna dari masa ke semasa.

Justeru, pengguna diminta untuk mengelakkan pembaziran dan terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah dalam aktiviti aktiviti harian.

"Bekalan air secara berjadual ini dengan sendirinya terbatal sekiranya paras air di empangan menunjukkan peningkatan sekali gus membolehkan loji beroperasi pada kapasiti pengeluaran biasa dan pengguna mula mendapat bekalan air sewajarnya.

"Bagaimanapun, sekiranya keadaan bertambah kritikal, jadual baharu akan dikeluarkan bersesuaian dengan keadaan semasa pengeluaran loji," katanya.

Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat boleh menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau SMS 019-7727474 atau menerusi emel [email protected] yang beroperasi 24 jam.

Berita Harian X