Selasa, 10 November 2015 | 12:08pm

Galas watak berat, bermain emosi amat memenatkan - Umie Aida


DATIN Umie Aida ketika Konsert 'Ku Mohon' Tuhan Berikan Aku Cinta di Stadium Melawati, baru-baru ini. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini lakonan Datin Umie Aida di kaca televisyen mahupun filem memang boleh dibilang dengan jari.

Tahun ini, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil itu kembali dengan watak Zeenat Manisah menerusi drama Mak Cun arahan Erma Fatima yang mencipta fenomena mengejut di TV3.

Saat ini juga, drama berkenaan bakal diterjemahkan ke pentas teater yang di bawah arahan Erma selain dia sendiri membawa peranan utama sebagai Mak Cun.

Pemilik nama sebenar Umi Kalsum Rahmad Ali ini sebenarnya sering dikenali dengan watak berat atau air mata, namun karakter Zeenat Manisah ternyata jauh menyimpang daripada kebiasaan apabila ia memperlihatkan sisi komedi Umie.

"Watak ini memang ringan kerana bergenre komedi. Kalau ada yang menganggap watak sebegitu menjatuhkan kredibiliti saya sebagai pelakon, ia satu skeptikal yang tak patut," katanya ketika ditemui yang ditemui di sesi latihan teater Mak Cun di Istana Budaya, di sini, semalam.


SESI latihan teater Mak Cun giat dijalankan di Istana Budaya.

Umie berkata, sebagai pelakon dia harus membawa pelbagai watak dan setiap watak yang diamanahkan perlu digalas sebaik mungkin.

"Selama ini kalau ada yang cop saya sebagai pelakon air mata atau serius...saya rasa cukup-cukuplah.

"Kenapa tidak, saya cuba sesuatu yang baru. Sebagai pelakon, saya tak boleh terus statik.

"Alhamdulillah saya mendapat reaksi dan maklum balas positif yang sukakan karakter Zeenat Manisah. Malah pada tahap sekarang, saya juga selesa membawa watak yang santai," katanya yang ditemui di sesi latihan teater Mak Cun di Istana Budaya semalam.

Ditanya apakah Umie tidak akan lagi melakonkan watak berat, dia menjelaskan masih akan menerima watak sedemikian.

"Mungkin saya akan buat watak itu sekali atau dua kali dalam setahun. Berlakon watak berat ini banyak bermain emosi. Penat sebenarnya," katanya.

Berlakon di bawah arahan kakak kandung sendiri, Umie mengakui sudah dapat membaca rentak Erma.

"Tak senang sebenarnya berlakon di bawah arahan Erma. Lagi mencabar adalah kerana Erma ini kepala otak dia boleh pecah empat.

"Dia akan heret kita juga sebagai pelakon. Sebagai contoh, saya sendiri diheretnya untuk terbabit dengan konsert Ku Mohon di Shah Alam dan Anugerah Skrin 2015 baru-baru ini.

"Untuk teater Mak Cun, tempoh masa latihan memang singkat. Mana lagi nak hafal lirik dan macam-macam lagilah. Benar lakonan ini makanan saya, tetapi kalau berlakon dengan Erma macam saya cakap tadi, kita memang kena peka dengan apa sahaja yang terdetik di fikirannya," katanya.

Umie turut ditanya mengenai usahanya menyatukan kembali Ogy Ahmad Daud dan Erma dalam teater Mak Cun.

Usahanya beberapa bulan lalu menjadi kenyataan apabila Ogy akhirnya bersetuju berlakon tetapi bersyarat.

Erma bersedia berkompromi dengan beberapa syarat ditetapkan Erma seperti tidak mahu menyanyi dan memahami komitmennya dalam program Pencetus Ummah.

"Alhamdulillah kerana ia akhirnya menjadi dan dipermudahkan. Kak Ogy sendiri memang idola saya.

"Saya sejak dahulu lagi amat menghormati bakat lakonannya. Ini juga peluang keemasan untuk saya bergandingan dengannya di atas satu pentas.

"Ia impian saya. Mempertemukan mereka selepas sengketa lama dilupakan, umpama cinta lama bertaut kembali," katanya.

Berita Harian X