Selasa, 10 November 2015 | 8:44pm

Azman belum lagi bimbing skuad Penyu

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini menafikan bekas pengendali PDRM, Azman Adnan akan membimbing pasukan pantai timur itu pada tahun depan.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata berita itu tidak benar kerana pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenai pelantikan jurulatih baharu setakat ini.

"Berita itu tidak benar dan kita menafikan, walaupun kita sedang mencari jurulatih baharu untuk musim depan," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan mengenai kemungkinan Kelantan atau Terengganu menjadi destinasi terbaharu bekas pengendali The Cops, Azman Adnan meneruskan khidmatnya selaku jurulatih pada musim hadapan.

Menurut Wan Ahmad Nizam, jawatankuasa eksekutif PBSNT akan mengadakan satu mesyuarat selepas 15 November ini untuk membincangkan pembentukan pasukan Terengganu musim depan.

Katanya, antara perkara penting yang akan dibincangkan termasuklah jurulatih, pengambilan pemain-pemain baharu bagi menggantikan pemain-pemain yang akan digugurkan bagi memantapkan pasukan.

Selain itu, mesyuarat itu juga akan melantik pegawai-pegawai bagi membimbing pasukan Terengganu.

Justeru kata beliau, pihaknya akan membentuk pasukan yang lebih mantap dan padu tahun depan ekoran kegagalan mereka meraih sebarang kejayaan musim ini.

-- BERNAMA

Berita Harian X