Rabu, 11 November 2015 | 12:31am
PELAKON, Zahirah Macwilson.- Foto Adi Safri
ZAHIRAH belum sedia meletakkan label pada hubungan rapatnya dengan aktor Zul Ariffin. - Foto Munira Abdul Ghani
SAYA tidak akan berkawan rapat dengan milik atau kekasih orang lain, ..Zahirah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Saya bukan perampas - Zahirah Macwilson


PENDATANG baharu, Zahirah Macwilson enggan meletakkan label pada hubungan rapatnya dengan aktor Zul Ariffin yang hangat diperkatakan ketika ini.

Namun, apa yang pasti dia mengakui sedang mengenali hati budi pelakon itu.

Zahirah kelihatan berat untuk membuka bicara mengenai kenyataan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon yang popular menerusi drama bersiri Rindu 200%, namun daripada lenggok tubuhnya seperti mengiyakan desas-desus yang sedang hangat diperkatakan ramai itu.

Malah, ada pihak yang menuduh pelakon wanita jelita itu sebagai perampas kerana seperti yang semua sedia maklum, Zul masih menjalinkan hubungan dengan penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai. Namun Zahirah menjelaskan isu rampas merampas tidak timbul kerana Zul sudah solo ketika mereka mula rapat.

"Saya tidak rasa diri sebagai seorang perampas kerana ketika saya dan Zul mula rapat, dia (Zul) sudah solo. Saya tidak akan berkawan rapat dengan milik atau kekasih orang lain," katanya kepada BH PLUS.


ISU rampas merampas tidak timbul kerana Zul sudah solo ketika kami mula rapat, ...Zahirah.- Foto Munira Abdul Ghani

Mengakui selesa berkawan rapat dengan Zul, teraju utama drama bersiri Mencintaimu itu menjelaskan karakter dan sifat aktor itu berjaya memikat hatinya.

Namun, Zahirah enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana menganggap ia sebagai terlalu peribadi untuk diulas lanjut.

"Buat masa ini kami lebih selesa untuk mengklasifikasikan hubungan kami sebagai mengenali hati budi. Kami memilih untuk tidak meletakkan label pada hubungan kami kerana ia masih baru lagi.

"Malah, kami merasakan Anugerah Skrin ini adalah tarikh dan waktu yang tepat bagi membuka mulut tentang hubungan kami.

"Tidak timbul istilah ingin merahsiakan hubungan kami pada umum kerana kami berada di tempat terbuka untuk berjumpa," katanya.

Tambah Zahira, ibu bapanya juga tidak menghalang hubungannya dengan Zul, malah meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk terus mengorak langkah dalam persada seni tempatan.

"Papa terlebih dahulu berkecimpung dalam bidang seni dan dia sedia maklum dengan senario dan adat resam sebagai seorang anak seni.

"Baginya, lumrah untuk seorang artis terpalit dengan kontroversi dan gosip," kata anak kepada bekas pelakon dan penyampai TV3, Zainol Johari Macwilson.

Gadis berusia 20 tahun itu menegaskan, kontroversi yang melanda dirinya sama sekali tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

Ibu bapanya menasihatkan beliau untuk fokus kepada kerjaya dan tidak mengendahkan kata-kata negatif yang dilemparkan sesetengah pihak.

Sementara itu, pelakon jelita kacukan Melayu-Australia itu menjelaskan beliau maklum ada pihak yang menuduh beliau mengadakan cerita bagi menutup hubungan rapatnya dengan Zul.


ZAHIRAH (kanan) akui selesa berkawan rapat dengan Zul Ariffin.- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tegas Zahirah, beliau masih waras untuk membuat cerita mengenai keselamatannya sendiri.

Industri seni tempatan digemparkan dengan kejadian Zahirah yang dikatakan hampir diculik di sebuah pusat beli-belah tempatan.

Berita itu disampaikan sendiri oleh Zul menerusi laman sosial Twitter miliknya.

Pelbagai versi cerita dikeluarkan di media sehingga ada yang mendakwa pasangan selebriti itu mengada-adakan cerita bagi menutup gosip berpegangan tangan yang tersebar secara meluas.

"Saya tidak bodoh untuk membuat cerita bukan-bukan terutama perkara yang membabitkan keselamatan saya. Tidak relevan untuk saya mereka plot mengenai kes penculikan itu.

"Ini adalah hadiah yang saya dapat dari kejadian itu (sambil menunjukkan kesan luka di tangannya). Saya tidak pasti senjata apa yang digunakan oleh penjahat itu namun ia adalah satu objek tajam sehingga membuatkan tangan saya luka.

"Benar saya hampir diculik ketika ingin masuk ke dalam kereta. Cukuplah saya katakan agar kaum wanita supaya lebih berhati-hati ketika berada di tempat parkir dan kunci pintu ketika sudah berada di dalam kereta," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Zahirah diberikan teraju utama disamping Shukri Yahaya dalam drama bersiri adaptasi novel berjudul Cik Cinderella dan Encik Tengku.

Drama yang bakal bersiaran untuk slot Lestari TV3 itu turut membariskan Shah Iskandar, Puteri Aishah, Zulin Aziz, Sherry Al Hadad, Datuk Eizlan Yusof dan ramai lagi.

Berita Harian X