Jumaat, 13 November 2015 | 11:35am

Remaja perempuan 3 hari tak balik rumah


SAMSIAH Abdullah, menunjukkan gambar anaknya Siti Nur Hafiza Asmat, yang dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Gong Pasir.- Foto ROSLI ILHAM

DUNGUN: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Gong Pasir, sejak tiga hari lalu.

Pada hari kejadian, Siti Nur Hafiza Asmat, 15, memakai jeans biru, berbaju hitam berlengan panjang dan bertudung kelabu.

Siti Nur Hafiza yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, dikatakan keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa tanpa beritahu hendak ke mana. 

Ibunya, Samsiah Abdullah, 36, berkata ketika nampak anaknya keluar dari rumah, dia memanggil nama anaknya itu sambil bertanya hendak ke mana tetapi tidak diendahkan.

"Dia terus berjalan tanpa berpaling dan saya sangkakan dia keluar sekejap sahaja.

"Bagaimanapun, katanya selepas setengah jam anak kedua daripada lima beradik itu tidak pulang, dia minta anak sulungnya mencari Nur Hafiza di sekitar kampung tetapi gagal menemuinya," katanya.

Samsiah kemudian memaklumkan perkara itu kepada suaminya Asmat Mohd Azmi, 45, seorang pengawal keselamatan.

Bimbangkan keselamatan anaknya, Samsiah dan suami membuat laporan kehilangan Siti Nur Hafiza di Ibu Pejabat Polis Daerah, kira-kira jam 10.45 malam, semalam.

Orang ramai yang tahu atau ada maklumat mengenai anaknya boleh hubungi talian 019-9491009 atau balai polis berhampiran.

Berita Harian X