Jumaat, 13 November 2015 | 12:13pm

Pertumbuhan 4.7 peratus pada suku ketiga 2015

GABENOR Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus pada suku ketiga tahun ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata sektor swasta kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi pada suku ketiga 2015 di sini, sebentar tadi.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2015, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.1 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama dan 4.9 peratus pada suku kedua.

Berdasarkan asas suku tahunan terlaras bermusim, ekonomi Malaysia meningkat 0.7 peratus pada suku ketiga.

Zeti berkata, semua sektor ekonomi terus berkembang pada suku ketiga, diterajui sektor pembinaan dan perkilangan dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 9.9 peratus dan 4.8 peratus.

Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan perlahan iaitu 4.4 peratus, begitu juga perlombongan dan pertanian berkembang pada kadar perlahan disebabkan oleh pengeluaran minyak mentah dan sawit yang sederhana.

"Meskipun berdepan persekitaran mencabar, kepelbagaian struktur ekonomi membolehkan ekonomi Malaysia berkembang dalam lingkungan 4-5 peratus," katanya.

Melangkah ke hadapan, Zeti berkata, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berada pada landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan sekitar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini dan 4.0-5.0 peratus pada tahun depan.

Dasar monetari terus tertumpu untuk menyokong pertumbuhan di tengah-tengah usaha mengekang risiko kepada inflasi dengan bank pusat mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.25 peratus.

Pada suku itu, Malaysia mencatat lebihan dagangan berjumlah RM22.2 bilion dengan eksport kasar kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan 5.5 peratus, manakala import kasar meningkat 2.9 peratus.

Suku ketiga 2015 juga menyaksikan pertumbuhan dalam hutang isi rumah terus menyederhana yang mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus, dengan pinjaman perumahan terus menjadi penyumbang terbesar.

Berita Harian X