Sabtu, 14 November 2015 | 12:25am
AHLI Kelab Riadah Sunnah Pemanah Tradisional Sibu (RSPTS) memberikan tunjuk ajar kepada kanak-kanak yang mahu mencuba memanah. - Foto Harun Yahya
PANAH yang digunakan ketika demonstrasi. - Foto Harun Yahya
PAPAN sasaran yang digunakan ketika demonstrasi. - Foto Harun Yahya
ANTARA busur yang digunakan ketika demonstrasi. - Foto Harun Yahya

Hatim, Abdul Khalil gigih bangunkan sukan memanah tradisional di Sibu


SEIRING dengan aliran kehidupan moden masa kini, ramai memilih sukan lasak seperti mendaki gunung dan bermain papan luncur bagi mengisi masa terluang mereka, namun sekumpulan pemuda di Sibu memilih menajamkan kemahiran mereka melalui sukan memanah tradisional.

Bagi Hatim Ramizon, 23, beliau mula menjinakkan diri dalam aktiviti itu apabila diperkenalkan oleh beberapa rakannya yang menyertai Kelab Riadah Sunnah Pemanah Tradisional Sibu (RSPTS).

Tidak sekadar mengakui sukan itu mempunyai tarikan tersendiri, beliau turut menyatakan kegiatan berkenaan amat dituntut dalam Islam kerana banyak manfaatnya.

"Saya melihat sukan memanah ini sebagai satu sukan yang sangat memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Seseorang pemanah tidak akan dapat menepati sasaran dengan baik jika hati tidak tenteram dan terlalu banyak berfikir.

"Justeru, selepas menyertai latihan intensif, saya mendapati kini menjadi seorang yang lebih fokus dalam kehidupan, termasuk ketika melakukan kerja di pejabat dan dari segi ibadah harian. Ini manfaat utama yang dapat saya dapat melalui sukan ini," katanya yang berkhidmat di Jabatan Laut Sarawak.

gn4id:10531393

Beliau turut memberitahu pemanah tradisional agak berbeza dengan sukan memanah moden yang sering dilihat di televisyen.

"Sukan memanah tradisional berbeza kerana kedudukan kami tidak statik. Pemanah tradisional lebih mudah bergerak, malah kita boleh memanah sambil berlari dan ada sesetengahnya membuat latihan menggunakan kuda bagi menajamkan lagi kemahiran mereka," katanya.

Katanya, sehingga kini seramai 15 pemanah tradisional aktif mengikuti latihan di Sibu, malah beliau bersama rakan lain sering diundang mengadakan demonstrasi memanah dalam usaha memupuk minat dalam kalangan orang ramai, terutama generasi muda.

"Dalam setiap undangan diterima, kita hanya mengenakan bayaran sewa peralatan. Ini bukan mahu mencari keuntungan tetapi sekadar hanya sebagai kos baik pulih dan menggantikan anak panah yang mungkin hilang ketika demonstrasi dijalankan," katanya.

Perlu latihan serius

Bagi Abdul Khalil Salehin, 40, berkata kegiatan riadah tradisi itu mula diperkenalkan di Sibu selepas menyertai latihan anjuran sebuah kelab memanah di Kuching sebelum ini.


ABDUL Khalil Salehin (kiri), mempamerkan kepakarannya memanah sasaran. - Foto Harun Yahya

"Bila kembali ke Sibu, saya membuat latihan memanah bersama rakan-rakan. Latihan dijalankan setiap hari, namun bergantung kepada keadaan cuaca kerana dilakukan di tempat terbuka.

"Biasanya, latihan membabitkan sasaran pada jarak maksimum 50 meter pada hari biasa, namun pada hujung minggu ia ditingkatkan kepada 100 meter. Ia bukan sahaja membantu saya mengurangkan tekanan kerja, malah turut membantu meningkatkan ketajaman mata kerana kita perlu fokus pada sasaran selepas melepaskan anak panah," katanya.

Ditemui ketika mengadakan demonstrasi di kawasan lapang berhampiran Masjid An-Nur, Abdul Khalil menjelaskan kumpulan pemanahnya kini mempunyai koleksi busur pelbagai bentuk, seperti Black Shadow dari Korea Selatan, Han dari China serta yang paling menarik Grozer dibeli di Turki.

"Busur Korea Selatan biasanya berharga dalam lingkungan RM600. Setakat ini busur termahal dalam koleksi kami ialah Grozer berharga RM3,000.

"Reka bentuknya amat menarik kerana diadaptasikan dari replika busur Pahlawan Islam , Sa'ad Abi Waqqas.


PENGGUNAAN 'cincin pemanah' bagi melindungi ibu jari. - Foto Harun Yahya

"Selain busur, kami juga memerlukan 'cincin pemanah' bagi melindungi ibu jari dari mengalami kecederaan. Ia mempunyai pelbagai bentuk, selain diperbuat dari logam dan kulit. Penggunaan 'cincin pemanah' juga penting bagi memastikan pemanah dapat beraksi lebih lama," katanya.

Khalil juga berharap sukan memanah tradisional itu akan mendapat sambutan menggalakkan, terutama dalam kalangan belia Islam.

"Setiap kali demonstrasi diadakan, memang ramai pengunjung datang, malah ada yang pertama kali mencuba sukan ini.. Namun, sukar mahu  melihat mereka yang benar-benar serius turun berlatih setiap hari. Saya berharap penubuhan kelab ini (RSPTS), Januari lalu dapat membantu usaha mempopularkan sukan memanah tradisional," katanya.

Berita Harian X