Ahad, 15 November 2015 | 12:05am
NONNY Nadhirah bekerja keras untuk membantu keluarga terutama ibu di Sabah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NONNY Nadhirah menolak bulat-bulat untuk hidup ditaja lelaki kaya. - Foto Munira Abdul Ghani
NONNY Nadhirah tidak malu mengaku dirinya daripada keluarga susah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NONNY Nadhirah bersyukur kerana dapat membeli kereta sendiri. - Foto Munira Abdul Ghani

Nonny Nadirah tolak ditaja lelaki kaya


NONNY Nadirah Zainuddin yang menggunakan nama Noni ketika menyertai Akademi Fantasia musim kelima hampir sembilan tahun lalu, seperti kebanyakan artis lain turut melalui fasa pergelutan yang sama.

Selesa menggunakan nama penuhnya sebagai nama komersial, Nonny Nadirah terus bangkit daripada kekhilafan lalu.

Pernah suatu ketika, wanita campuran Cina-Filipina di sebelah ibu dan Sino Kadazan sebelah bapa yang seakan bintang dari Korea ini seakan jauh tersasar dari matlamat hidupnya.

Kehidupannya dahulu dengan masalah keluarga pernah menguji dirinya selain dihimpit beberapa kontroversi liar. Namun dia pantas sedar dan siapa sangka rezeki lakonannya hingga saat ini kian murah. Bakatnya terus dipandang.

Pujian harus diberi kepada si cantik dari Putatan, Sabah ini, kerana dia antara finalis pertandingan realiti kebanggaan Astro musim kelima yang masih meneruskan survivalnya hingga saat ini.

Tak ketinggalan yang semusim dengannya seperti Mila, Aizat, Dafi, Heliza dan Ebi. Peserta selebihnya sudah berlalu sepi begitu sahaja.

Lebih bermakna kerja kerasnya untuk membantu keluarga terutama ibu di Sabah. Malah Nonny tak segan mengakui dia bukan datang dari keluarga yang senang dan sebab itu dia lebih tahu erti kehidupan dengan lebih jelas.

Kepada BH Plus, Nonny luahkan isi hati walaupun sedang sibuk di lokasi drama Cinta Hati Abah untuk slot Samarinda TV3 bergandingan dengan Zara Zya dan Afiq Muiz.

Bagi Nonny, kesusahan dan kesukaran yang dilalui dari bawah ini langsung tidak membuatkannya terfikir untuk menikmati kemewahan dengan cara pintas. Itu bukan cara Nonny sekalipun dia boleh hidup sebegitu seperti memetik jari.

Anak kelima daripada sembilan beradik ini menolak bulat-bulat untuk hidup ditaja lelaki kaya.


PENYANYI dan pelakon, Nonny Nadhirah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Inilah hakikat kehidupan, ada yang bertuah datang daripada keluarga yang senang lenang. Tapi ada yang sebaliknya. Kehidupan tetap diteruskan. Saya tak malu mengaku datang daripada keluarga yang susah. Saban tahun saya cuba memperbaiki ekonomi keluarga dan diri. Saya kerja keras selama ini terutamanya untuk ibu.

"Alhamdulillah akhirnya tahun ini saya dapat membeli kereta sendiri. Cuma rumah, saya masih menyewa. Biarpun kesenangan itu datang serba sedikit, saya bersyukur ia hasil titik peluh sendiri. Alhamdulillah beberapa tahun kebelakangan ini, ada yang mula nampak bakat saya dalam lakonan contohnya selepas membintangi drama Istikharah Cinta di TV3 hujung 2014.

"Ikutkan nak hidup senang dengan cara senang itu memang boleh. Golongan VIP yang datang menghimpit dan ingin mendekati saya itu usah cakap ...memang ada. Ada yang tawar saya tampil produk itu ini sendiri, tetapi ada udang di sebalik batu. Jangan ingat saya ini perempuan, mereka boleh ambil kesempatan. Jangan ingat golongan sebegitu ada duit, mereka boleh beli saya dengan senang," kata Nonny ketika bertemunya pada majlis pernikahan Mila Jirin dan Isz Mustapha 11 November lalu di Subang Jaya.

Tambah Nonny lagi, ada yang skeptikal kenapa dia menolak kemewahan yang sebegitu mudah diperoleh dan memilih untuk terus bekerja kuat demi kelangsungan hidup.


NONNY Nadhirah pernah dihimpit beberapa kontroversi liar. - Foto Munira Abdul Ghani

"Tuhan sentiasa beri kita akal untuk berfikir. Kemewahan sebegitu hanya pinjaman dan tak kekal lama. Ia hanya akan merosakkan kehidupan. Alhamdulillah setiap hari saya tak pernah lupa menghubungi ibu di kampung. Berkat doa ibu dan hati saya kuat mungkin juga semua itu dijauhi. Saya lebih rela mencari rezeki halal. Biar dapat tak banyak pun, janji berkat dan saya hargainya. Biar sering diuji saya tak pernah persoal kenapa dilahirkan dalam keluarga susah. Siapa tahu mungkin kebahagiaan dan kesenangan hakiki akan diperoleh di akhirat nanti," katanya.

Pernah melalui peringkat kehidupan hingga tak ada duit nak makan selain hidup seorang diri sebagai perantau, Nonny mengakui tidak pernah bercerita kepayahan hidupnya kepada keluarga. Cukup kesukaran lalu itu ditelan sendiri. Namun kalau mahu dibandingkan dengan kesusahan ibu membesarkan dia dan adik beradik lain, apalah sangat dengan yang dilaluinya.

"Sebab menghargai ibulah, saya pasang niat untuk membeli rumah di Sabah dan memberi kesenangan kepadanya. Saya masih dalam peringkat mengumpul duit. Saya memang nak beli sangat rumah dengan hasil titik peluh sendiri. Sebagai anak yang belum berkahwin, tanggung jawab memang lebih kepada saya berbanding yang sudah berkahwin. Ibu keutamaan saya. Jasanya memang tak terbalas.

"Inilah saja yang saya dapat buat selagi dia masih bernyawa. Saya dapat membuatkan dia gembira, itu sudah memadai. Di Sabah, saat ini ibu tinggal dengan adik beradik lain," katanya.


NONNY Nadhirah menyifatkan rezeki lakonannya kian murah. - Foto Munira Abdul Ghani

Saat ini, Nonny meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.

"Akademi Fantasia kelima sudah berlalu. Tetapi saya masih gigih meneruskan legasi seni sendiri. Syukur Alhamdulillah, saya harus berterima kasih kepada pertandingan itu yang menjadi platform dan batu loncatan percuma untuk apa yang saya perjuangkan hingga kini. Saya patut teruskan apa yang dimulakan. Rugi kalau tak teruskan kerana peluang ini bukan semua orang dapat.

"Dalam bidang hiburan ini, selalu orang cakap semuanya berbalik kepada soal tuah dan rezeki. Saya percaya biar lambat atau cepat, rezeki itu akan sentiasa ada kalau kita rajin berusaha. Tuhan akan memberinya dan sebab itu juga saya masih ada di sini. Sekalipun saya tak ada kelompok peminat yang ramai, saya OK sahaja.

"Dahulu masa zaman AF5 memang ada kelab peminat. Tapi biasalah apabila ramai kepala, mula bergaduh. Cuma kini saya ada kelompok peminat baharu di bawah nama NonnyCliques. Peminat saya dari Singapura yang menguruskan. Boleh ikuti @nonnycliques di laman Instagram untuk sebarang perkembangan," katanya.

Berita Harian X