Ahad, 15 November 2015 | 12:09am

Perbaiki 'persembahan' di Pesta Buku Frankfurt

ANTOLOGI Cerpen Indonesia-Malaysia-Singapura dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015. - Foto NSTP

APAKAH prospek industri buku Malaysia dalam Pesta Buku Frankfurt yang disertai oleh 7,100 pempamer dari lebih 100 negara di seluruh dunia yang penganjurannya sudah masuk tahun ke-67?

Persoalan itu timbul melihatkan perbezaan antara persembahan Pavilion Malaysia dengan ruang pameran negara peserta seperti Singapura, Thailand, Taiwan dan Hong Kong tanpa mengambil kira Indonesia yang menjadi Negara Tamu Kehormat Pesta Buku Frankfurt.

Antara paling jelas negara yang disebutkan itu mempamerkan buku secara berstrategik seperti meletakkannya di bahagian luar pavilion berbanding Malaysia yang menyusunnya di dalam ruang pameran tanpa ada pengkategorian yang jelas.

Malah beberapa kali juga pengunjung tidak menerima layanan pantas daripada wakil penerbit disebabkan timbul kekeliruan judul syarikat manakah yang menarik perhatiannya kerana buku disusun tanpa pengenalan penerbit.

Begitu juga negara terbabit menyenaraikan sejumlah karya yang mendapat pengiktirafan sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, manakala Malaysia mengemukakan 50 judul yang relatifnya terlalu banyak.

Negara asing 'jual' pengarang

Negara seperti Singapura dan Thailand pula tidak hanya 'menjual' karya, bahkan menggantungkan gambar pengarang pelbagai genre dalam saiz yang besar sebagai tarikan termasuk negara jiran di selatan tanah air yang 'meminjam' ketokohan sasterawan Indonesia sebagai daya penarik.

Bagaimanapun dari sudut nuansa budaya, 'prop' yang menghiasi Pavilion Malaysia berjaya menampilkan tarikan kebudayaan khususnya seni bina Melayu dan tarikan pelancongan.

Begitu juga dengan konsep selera Malaysia yang dikemukakan, fokus pada pelancaran buku yang berkaitan dengan kulinari tanah air mendedahkan sebahagian aspek kebudayaan.

Malaysia menyertai Pesta Buku Frankfurt melalui delegasi 30 agensi dan syarikat serta 105 peserta yang di bawah pengurusan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Persoalan mengenai prospek kepada industri buku tanah air di acara berkenaan dilontarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, sehingga menyebabkan beliau termenung sebentar dalam sesi wawancara pada hari kedua terakhir Pesta Buku Frankfurt, Jerman, baru-baru ini.

DARI kiri: Shaharuddin, Mohd Khair, Kartini, Lucya, May Tan dan Mohamed Saleeh pada pelancaran Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia-Singapura di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015. - Foto NSTP

Perancangan enam bulan sebelum

Prospek untuk pemain industri buku sentiasa ada, kata Sayed Munawar, tetapi ia terpulang kepada semua pihak untuk mengatur strategi bukan saja ketika pesta buku itu berlangsung, bahkan sebelum daripada penganjurannya lagi.

"Dengan pengalaman Malaysia dalam Pesta Buku Frankfurt ini, kita sepatutnya tidak lagi menggunakan kaedah try and error serta berbekalkan strategi yang tumpul.

"Kita memerlukan perancangan sekurang-kurangnya enam bulan daripada tarikh penganjurannya yang diadakan pada Oktober setiap tahun," katanya.

Malah dalam konteks PKB sendiri, Sayed Munawar berkata, beliau yakin akan mendapat peluang yang baik sekiranya semua pihak termasuk pengurusan, penerbit dan peserta Pavillion Malaysia sudah mengetahui perancangan awal.

"PKB banyak belajar daripada pembabitan dalam Pesta Buku Kanak-kanak Bologna di Itali sebelum ini apabila kami terpaksa berhempas-pulas untuk 'menjual' produk kami.

"Kami membawa bahan yang separuh masak tanpa mengambil kira bentuk dan kehendak pasaran dunia dalam konteks sastera kanak-kanak," katanya.

Templat, pandu peserta

Beliau berkata, aspek yang perlu memiliki taraf antarabangsa bukan saja daripada bahan, iaitu buku dan karya yang dikemukakan, bahkan kaedah persembahan untuk 'menjual' nama negara dan produk berkenaan.

"Kita sepatutnya ada templat atau panduan kepada peserta delegasi Malaysia khususnya kepada peserta kali pertama supaya mereka mengetahui lebih awal senario perjalanan pesta buku sehingga tidak terkontang-kanting atau tidak tahu berbuat apa-apa.

"Templat pada peserta yang sudah berpengalaman pula perlu memberikan fokus kepada pertemuan dagangan sama ada yang dilakukan di pavilion atau di luar, iaitu gerai penerbit dan negara lain," katanya.

Justeru, Sayed Munawar menyarankan bakal peserta delegasi sudah pun terbabit dalam perancangan dan pengurusan yang ketika ini diserahkan kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

"Pembentukan organisasi seperti konsortium dapat memudahkan perancangan bukan saja untuk Pesta Buku Frankfurt, bahkan penganjuran lima lagi acara perbukuan utama dunia.

"Kita juga memerlukan strategi untuk pesta buku antarabangsa di Kaherah, London, Bologna dan Beijing, selain di Kuala Lumpur," katanya.

Kemukakan produk utama, berkualiti

Pandangan senada turut diberikan oleh Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron yang menyarankan Malaysia mengemukakan produk utama, iaitu karya terpilih yang berkualiti.

"Jumlah 50 judul itu terlalu banyak sehingga menyukarkan pelanggan yang berpotensi untuk membuat pilihan, sebaliknya cukup dalam beberapa judul.

"Cara persembahan juga perlu lebih baik seperti membawa pengarang atau penggiat yang terbabit dalam subjek buku itu seperti tok dalang sekiranya buku itu mengenai wayang kulit," katanya.

Mohd Khair berkata, penerbit termasuk agensi kerajaan juga perlu membawa pengarang ke pentas antarabangsa itu, sekali gus dapat memperkenalkan mereka kepada pelanggan berpotensi.

"Penerbit biasanya akan bertanya siapakah penulis buku. Justeru, kami memilih Sasterawan Negara (SN) Prof Dr Muhammad Haji Salleh dan Prof Zakaria Ali yang memiliki nuansa antarabangsa untuk dibawa ke pesta buku ini.

"Penerbitan bukan sekadar cerita dan bukunya, sebaliknya elemen yang selalu kita abaikan adalah usaha memperkenalkan penulisnya sendiri seperti yang dapat kita saksikan di Pavilion Indonesia serta Singapura," katanya.

DARI kiri: Mohd Khair, Muhammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Abera Verlag, Markus Voss ketika Pesta Buku Frankfurt.

Siapkan lokasi, ruang beroperasi

Sementara itu, Pengarah MBKM, Abd Wahab Ibrahim, berkata peranan pihaknya adalah mempersiapkan lokasi di pesta buku itu sebagai ruang untuk wakil industri buku beroperasi.

"Dalam usaha untuk menarik pelanggan dari kalangan penerbit buku antarabangsa, kami mengadakan sesi makan tengah hari untuk mengambil kesempatan daripada kesibukan mereka.

"Sesi makan tengah hari ini lanjutan daripada sesi sarapan yang diadakan pada tahun lalu tetapi ia kurang disertai kerana kebanyakan peserta antarabangsa Pesta Buku Frankfurt ini biasanya sudah pun bersarapan.

"Kehadiran dalam sesi makan tengah hari memang ramai, sekali gus memberikan pendedahan kepada mereka terhadap perbukuan tanah air sehingga pihak kami banyak mendapat pertanyaan mengenai buku kita," katanya.

Selain sesi makan tengah hari, Abd Wahab berkata, persembahan kebudayaan juga menarik perhatian pengunjung pesta buku berkenaan.

Secara umumnya, kata Abd Wahab, peranan pihaknya adalah untuk mewujudkan minat pihak luar terhadap buku kita, manakala penerbit pula mencari peluang daripada penyertaan di pesta buku itu.

Nilai industri buku berbilion

Bagaimanapun, 'persembahan' Malaysia dalam Pesta Buku Frankfurt masih perlu diperbaiki dan dipertingkatkan kerana saingan sengit bukan saja dari penerbit negara serantau, bahkan untuk merebut perhatian pemain industri buku antarabangsa.

Kritikan dan saranan selepas Pesta Buku Frankfurt yang diberikan oleh banyak pihak memperlihatkan keprihatinan pemain industri dan masyarakat umum terhadap keupayaan Malaysia untuk memasarkan buku serta karya Malaysiana ke pentas antarabangsa.

Apatah lagi jumlah pendapatan keseluruhan industri buku di Jerman pada tahun lalu saja dianggarkan sebanyak 9.3 bilion Euro (RM44 bilion) tetapi memerlukan usaha yang berstrategik untuk meraih tumpuan bukan saja daripada pemain industri di negara itu, bahkan dari seluruh negara yang bertumpu pada acara perbukuan seperti Pesta Buku Frankfurt.

Berita Harian X