Isnin, 16 November 2015 | 8:00am

Sukree rangkul kejuaraan golf PGA Malaysia

Sukree Othman. - Foto ihsan asiantour

KUALA LUMPUR: Sukree Othman menamatkan kemarau kejuaraan selama 28 bulan apabila merangkul Kejohanan Golf PGA Malaysia di Kelab Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini, semalam.

Pemain profesional berusia 39 tahun itu membenam empat birdie dan dua bogey untuk mengakhiri pusingan akhir dengan dua bawah par 70.

Sukree yang mendahului saingan sejak pusingan pertama, menamatkan cabaran dengan 13 bawah par 275 pukulan untuk merangkul kejuaraan dengan kelebihan satu pukulan daripada pencabar terdekat, Airil Rizman Zahari.

Kejayaan pertama dalam tempoh 28 bulan itu menyaksikan Sukree membawa pulang hadiah wang tunai RM28,000 dan tiket penerbangan pergi-balik ke Langkawi, sumbangan Malindo Air.

"Saya lega sekarang. Selepas dua tahun berusaha sering mendekati gelaran banyak kali, kini akhirnya menang dan ia cukup manis.

"Ini adalah satu penghormatan untuk nama saya disenaraikan antara jaguh dalam kejohanan ini," katanya seperti dipetik dalam kenyataan Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGAM) di sini.

Pemain veteran, R Nachimuthu, yang merekodkan catatan terendah lapan bawah par 64 sepanjang kejohanan ini, Jumaat lepas, menduduki tempat ketiga apabila menamatkan pusingan akhir dengan enam bawah par 66 untuk mengumpul 277 pukulan.

KEPUTUSAN:

275 - Sukree Othman 67-68-70-70;

276 - Airil Rizman Zahari 69-69-69-69;

277 - Nachimuthu Ramasamy 77-64-70-66;

278 - Shaaban Hussin 69-69-69-71;

279 - Kemarol Baharin 68-71-70-70;

280 - Iylia Jamil 69-72-69-70;

281 - Kenneth Tobuse 70-69-73-69, Akhmal Tarmizee Nazari 67-70-70-74;

283 - Sivachandhran Supramaniam 74-70-70-69;

284 - Mohd Rizal Amin 70-71-74-69, Jeremiah Kim Leun Kwang 72-71-71-70, Hans Jamil

73-69-70-72.

-- BERNAMA

Berita Harian X