Isnin, 16 November 2015 | 3:45pm

Misi tebus maruah Harimau Malaya, Kim Swee

PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya menjadikan pertemuan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 di Stadium Shah Alam, esok sebagai misi menebus maruah Harimau Malaya yang tercalar.

Maruah skuad kebangsaan sekali lagi dirobek dengan kekalahan 6-0 kepada Palestin, Khamis lalu dengan jurulatih itu hanya mempunyai tempoh kurang empat hari sebagai persiapan bertemu satu daripada pasukan terkuat dalam Kumpulan A itu.

Mengerti kekuatan pasukan yang pernah membenam skuad negara 10-0, pada 8 September lalu, pengendali berusia 44 tahun itu mengakui betapa pentingnya skuad negara meraih keputusan positif di Shah Alam yang menjadi aksi terakhir skuad kebangsaan, tahun ini.

"Saya fikir kami sudah melalui pelbagai perkara tahun ini," kata Kim Swee ketika ditemui pada sidang media sebelum perlawanan berlangsung. "Ini akan menjadi perlawanan terakhir kami tahun ini.

"Jadi kami berharap dapat menebus maruah sebelum tahun ini berakhir. Tamatkan tahun ini dengan prestasi lebih baik," katanya yang mengakui bukan sesuatu yang mustahil pemainnya dapat melakar keputusan positif di Shah Alam.

Begitupun, Malaysia terpaksa beraksi tanpa sorakan penyokong di Shah Alam, esok kerana menjalani hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas kekecohan berlaku ketika pertemuan dengan Arab Saudi di laman sama, September lalu.

Mengakui ia sedikit mengecewakan, Kim Swee berkata fokus pemainnya tidak terganggu dengan situasi itu dan sudah bersedia dengan perancangan yang dibuat.

"Apa yang penting kami perlu fokus sepenuhnya. UAE bukan pasukan yang mudah. Mereka sudah jaringan 20 gol dalam kempen kali ini dan rekod pertahanan kita yang terburuk.

"Apapun, saya percaya apa yang kami lakukan beberapa hari ini, kami boleh dapat sesuatu daripadanya," katanya.

Bertemu Malaysia, UAE kembali memperoleh pemain tengah berkualiti, Omar Abdulrahman yang tidak beraksi ketika bertemu Timor Leste namun Kim Swee menyifatkan ia bukan sesuatu yang perlu ditakuti.

Dalam pada itu, jurulatih UAE, Mahdi Ali Hassan Redha berkata kemenangan besar 10-0 pasukannya bertemu Malaysia, September lalu tidak boleh dijadikan ukuran bagi pertemuan di Shah Alam.

"Apa yang sudah berlalu, ia sudah berlalu dan kini, cuba lakukan apa yang diperlukan. Ini adalah perlawanan penting," katanya.

Berdepan UAE, Malaysia kehilangan lima pemain iaitu Amri Yahyah, Ahmad Hazwan Bakri, Razman Roslan, Nazirul Naim Che Hashim selain penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Mengisi kekosongan itu ialah Mohd Safee Sali, Baddrol Bakhtiar, Jasazrin Jamaluddin, Azamuddin Akil dan penjaga gol, Farhan Abu Bakar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X