Selasa, 17 November 2015 | 12:07am
AAISYAH Dhia bersama ibu bapanya, Rozita Che Wan dan Zain Saidin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AAISYAH Dhia bersama bapanya, Zain Saidin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Anak Che Ta dapat bayaran tinggi berlakon drama


USIANYA genap setahun pada 1 November lalu. Pada usia yang amat muda, rezeki anak kesayangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana makin murah apabila dilamar berlakon dalam drama berjudul Kak Marr.

Lebih menarik, Aaisyah menerima bayaran lumayan bagi komitmen 11 hari ketika penggambaran drama berkenaan dan jumlah berkenaan melebihi apa yang diterima oleh pelakon tambahan.

Sebelum ini, Aaisyah menjadi artis termuda menyertai syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment sekitar Mac lalu yang turut dinaungi ibu dan bapanya akan disiarkan TV3.

Kehadiran Aaisyah diperlukan dalam drama Kak Marr itu untuk 11 hari sahaja yang dibintangi Rozita sendiri sebagai teraju utama memegang watak Kak Marr.

Untuk tempoh itu sahaja, Aaisyah dibayar untuk belasan ribu ringgit. Drama 20 episod terbitan Zeel Production itu berdurasi setengah jam (bagi setiap episod). Hari pertama penggambaran bermula Ahad lalu di sekitar KL dan Langkawi.

"Bayaran untuk komitmen 11 hari yang dia dapat itu melebihi bayaran pelakon pembantu yang menerima anugerah. Itu saja saya boleh cakap," katanya.


AAISYAH menjadi artis termuda menyertai syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment sekitar Mac lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ditanya apakah wujud eksploitasi daripada pihaknya sendiri mahupun produksi, Rozita tidak melihat perkara itu berlaku, sebaliknya ia bagi memudahkan Aaisyah berada dekat dengannya. Malah untuk setiap episod turut ditampilkan pelakon undangan dan suami Rozita, Zain Saidin sendiri juga diundang.

"Kira pakejlah gayanya kalau orang nak cakap kami anak beranak berlakon. Tak apalah, orang nak cakap apa...itu terpulang. Ini semua soal rezeki. Selama ini, apa sahaja yang membabitkan saya selalu dipersoalkan dan menjadi kontroversi. Saya tak boleh tutup mulut orang dan kalau nak dilayan memang tak pernah berakhir. Biarlah.

"Bagi saya, soal eksploitasi itu tak pernah wujud dalam hal saya membiarkan Aaisyah berlakon sekali. Dia masih kecil, tak tahu apa pun. Cuma selepas meneliti skrip, memang watak Kak Marr itu ada anak. Jadi alang-alang dan senang, saya boleh usung anak ke lokasi penggambaran. Semua ini untuk kesenangan saya. Tapi untuk 11 hari sahaja pun sedangkan komitmen saya secara keseluruhan selama 30 hari.

"Aaisyah hanya membabitkan babak di rumah. Dia hanya baring, tidur dan ada babak saya memangku mahupun mendukungnya. Cadangan saya untuk membiarkan Aaisyah jadi anak saya dalam drama ini akhirnya diperkenankan pengurus produksi, Fendi London dan pihak Zeel sendiri. Saya dapat tahu pihak TV3 juga okey dengan cadangan itu," kata Rozita yang dihubungi baru-baru ini.

Tambah Rozita lagi, keputusannya membiarkan Aaisyah berlakon itu berkemungkinan besar hanya untuk Zeel Production sahaja. Ia seperti prinsip Rozita sendiri yang selesa dan memilih untuk berlakon di bawah produksi berkenaan. Saat ini juga, lakonan bukan lagi keutamaan Rozita seperti mana awal kemunculannya.


PELAKON drama terbaharu siri mini TV3 berjudul Kak Marr, Rozita Che Wan dan anaknya, Aaisyah Dhia. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Lucunya, ketika saya berdialog...Aaisyah pun beriya buka mulut macam nak bersembang sekali dengan saya. Selain penggambaran di ibu kota, drama ini juga memerlukan saya ke Perlis. Insya-Allah 20 November ini akan bermula penggambaran di sana. Sebelum ini memang saya cakap, hanya akan berlakon di sekitar ibu kota sahaja dan pihak produksi bersedia berkompromi.

"Nampaknya saya kena juga berlakon di sana. Tapi mahu atau tidak, Aaisyah kena usung sekali," katanya.

Drama Kak Marr ini juga menjadi lakonan terbaharu Rozita selepas sudah lama tidak berlakon.

"Kak Marr ini karakternya seperti saya sendiri. Cuma Kak Marr digambarkan sebagai seorang jurusolek artis. Selepas berhenti jadi jurusolek, dia buka gerai makan. Menambah keceriaan, ramailah lelaki yang singgah ke gerainya kerana mahu mendekati," katanya.

Selepas mengeluarkan kenyataan hanya akan berlakon dengan produksi Zeel Production, sebenarnya Rozita masih menerima tawaran berlakon dengan produksi lain. Cuma dia agak selektif.

"Ada yang tawarkan watak, tetapi karakternya membosankan. Saya sudah malas berlakon jadi pelakon air mata lagi macam dahulu. Tak larat nak teriak setiap masa. Kalau karakter berat untuk telefilem yang tak makan masa panjang, mungkin saya akan pertimbangkan tetapi kalau episod...maaf cakap memang tak mahu. Saya selesa watak santai macam Kiah Pekasam dan kini Kak Marr," katanya.

Berita Harian X