Selasa, 17 November 2015 | 12:08am
ANTARA koleksi barang kemas Habib Jewels.

Rekaan klasik dari Itali


MEER Habib (duduk dua dari kanan) ketika pelancaran koleksi Ora Italia 916 di Mutiara Damansara. - FOTO SHIRAZ ALI

PENERAJU barangan kemas terkemuka, HABIB melancarkan koleksi terbaharunya dari Itali, Oro Italia 916, yang menampilkan sentuhan klasik gaya Eropah.

Dihasilkan dengan kerjasama rakan kongsinya dari Itali, koleksi ini bukan saja memaparkan rekaan yang unik dan anggun tetapi juga menitikberatkan mutu serta kualiti.

HABIB adalah antara syarikat barangan kemas pertama di negara ini yang menghasilkan rekaan dari Itali, yang diperbuat daripada emas 22 karat atau lebih dikenali sebagai emas 916.

Tambat hati

Barangan kemas 916 jarang ditemui di Eropah, tetapi amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia bukan saja disebabkan kilauannya tetapi juga kerana nilainya yang tinggi sebagai aset untuk pelaburan.

Koleksi Oro Italia 916 menampilkan barangan kemas seperti gelang tangan, cincin, rantai leher dan rantai tangan yang diberikan sentuhan Eropah ini mula popular sejak pelancaran pertamanya pada tahun 2013.

Pengarah Urusan HABIB, Datuk Seri Meer Habib berkata, rekaan dari Itali ini berjaya menambat hati penggemar koleksi barangan kemas dan pelanggan HABIB sendiri kerana mutu serta kualiti yang menjadi keutamaan dalam penghasilannya.

"Hasil yang cukup bergaya, sofistikated dan unggul sepanjang zaman adalah antara ciri yang cukup sinonim dengan rekaan Itali ini.

"Malah, setiap barangan kemas ini direka oleh tukang emas yang berkemahiran tinggi dengan rekaan yang cukup halus dan berkualiti tinggi yang biasanya didapati pada barangan kemas Itali ini," katanya kepada media sempena pelancaran koleksi Oro Italia 916 di The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Turut hadir dalam pelancaran itu ialah Duta Itali ke Malaysia, Mario Sammartino dan Pengurus Besar Brigato, Paolo Portinari.


KOLEKSI Oro Italia.

Aset pelaburan

Meer berkata, memandangkan rakyat Malaysia gemar memilih emas sebagai aset pelaburan, sekarang adalah masa yang disifatkan paling sesuai untuk membuat pelaburan dengan membeli barangan kemas.

"Dengan harga pasaran emas dijangka meningkat lebih tinggi, jadi sekarang adalah paling sesuai untuk melabur emas dan pastinya koleksi rekaan Itali HABIB ini adalah amat tepat," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan rekaan dari Itali itu, Meer berkata, negara berkenan dipilih kerana mereka mempunyai teknologi terbaik, selain terkenal dengan reka bentuk yang bukan saja berkualiti tetapi unik dan mampu memenuhi cita rasa penduduk di negara ini.

Katanya, pihaknya mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum tampil dengan koleksi terbaharu ini bagi memastikan ia mampu menambat hati penduduk tempatan.

"Ini kerana kami juga perlu mengambil kira beberapa perkara lain termasuk kesesuaian reka bentuknya untuk dipadankan dengan harga yang berpatutan memandangkan emas 916 ini juga disifatkan sebagai satu pelaburan bagi kebanyakan pembeli.

"Selain itu, kami menjanjikan kelainan termasuk menawarkan rekaan terbaharu yang menggunakan kemasan emas hitam, selain emas kuning biasa yang digabungkan dengan penggunaan emas putih," katanya.


MODEL mengayakan koleksi barang kemas Habib Jewels.

Penuhi kehendak wanita

Sementara itu, Portinari yang mewakili Brigato, syarikat yang menjadi rakan kongsi kepada HABIB dalam menghasilkan rekaan bagi koleksi Oro Italia 916 ini berkata, selain mementingkan kualiti, pihaknya sentiasa memastikan bahawa setiap rekaan adalah memenuhi kehendak dan cita rasa wanita.

"Kami bermain dengan emosi dalaman wanita kerana mereka yang akan memilih dan memakai setiap rekaan yang dihasilkan.

"Setiap rekaan kami mempunyai nilai klasik untuk memastikan barangan kemas yang dihasilkan masih terus diterima tanpa mengira peredaran zaman.

"Malah, rekaan kami juga adalah bersesuaian untuk semua lapisan usia membabitkan remaja hingga golongan tua," katanya.

Portinari yang berpengalaman luas dalam rekaan dan penghasilan barangan kemas berkata, kebanyakan reka bentuk yang dihasilkan syarikatnya mendapat inspirasi daripada alam semula jadi.

31 dibaca
Berita Harian X