Selasa, 17 November 2015 | 10:30am

Adakah Malaysia dibelasah lagi oleh UAE malam ini?

PASUKAN Harimau Malaya dibawah jurulatih Datuk Ong Kim Swee menjalani sesi latihan untuk persiapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang UAE di Padang Wisma FAM semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PASUKAN Harimau Malaya dibawah jurulatih Datuk Ong Kim Swee menjalani sesi latihan untuk persiapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang UAE di Padang Wisma FAM semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu melupakan kekalahan memalukan 0-6 kepada Palestin pada Khamis lalu, dan fokus seratus peratus kepada aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, malam ini.

Walaupun pernah diaibkan 0-10 oleh UAE pada 3 September lalu, skuad bola sepak kebangsaan perlu mempamerkan aksi terbaik di Stadium Shah Alam untuk menebus maruah negara.

Beraksi di stadium kosong tanpa penyokong selepas didenda FIFA berikutan kekecohan penyokong pada perlawanan menentang Arab Saudi 8 September lalu di venue sama, sudah pasti memberi tamparan hebat buat skuad kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut didenda 40,000 Swiss Francs (RM180,000), selain diberi kemenangan 3-0 kepada pasukan Arab Saudi angkara tindakan penyokong membaling suar dan mercun ke dalam padang.

UAE yang berada di kedudukan kedua Kumpulan A, ternyata bukan lawan mudah bagi Malaysia apabila pasukan itu menjadi antara pasukan yang mencipta jaringan terbanyak dalam kempen kelayakan itu, dengan 20 jaringan dan hanya dibolosi dua kali daripada lima perlawanan.

Sementara itu, Malaysia yang berada di tangga keempat kumpulan hanya menjaringkan dua gol, manakala dibolosi sebanyak 26 kali dalam enam perlawanan.

Namun, Kim Swee tetap optimis skuad kendaliannya mampu mencatat keputusan

positif dan tidak mudah mengalah.

"Pemain seperti fobia apabila dimalukan tiga kali dengan jumlah jaringan yang besar. Saya sudah bercakap dengan mereka, dan saya percaya mereka akan menampilkan aksi yang baik esok.

"Kita lupakan apa yang sudah lepas, kita perlu melihat ke hadapan dan menampilkan aksi terbaik esok," katanya pada sidang media pra-perlawanan berkenaan, di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Kepulangan Mohd Safee Sali yang digantung satu perlawanan, selain Azamuddin Akil yang pulih dari kecederaan serta Baddrol Bakhtiar dalam skuad kebangsaan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Kim Swee.

Kim Swee juga perlu memberi perhatian terhadap penyerang berbisa UAE, Ahmed Khalil yang menjaringkan empat gol ketika membelasah Malaysia 10-0, selain pemain sayap Omar Abdulrahman Ahmed yang menjadi tunggak utama pasukan itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih UAE, Mahdi Ali Hassan Redha mengingatkan pemainnya supaya melupakan kemenangan besar pasukan itu ke atas Harimau Malaya di Stadium Mohammed Zayed, Abu Dhabi dan memberi fokus sepenuhnya pada pertemuan esok.

"Kita perlu menampilkan yang terbaik esok untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia. Kita sudah membuat persiapan rapi dan siapa yang bermain dengan baik akan memenangi perlawanan itu," katanya.

Beliau berkata, pelaburan dibuat Persatuan Bola Sepak UAE (UAEFA) sejak beberapa tahun lalu, membuahkan hasil apabila pasukan itu menamatkan Piala Asia 2015 di Australia di tempat ketiga, selain prestasi memberangsangkan dalam kempen kelayakan itu.

"Kami bangga berada di tahap ini. Bagi mana-mana pasukan bola sepak, pelaburan dalam pembangunan di peringkat akar umbi sentiasa membuahkan hasil. Saya tahu, pemain betul-betul berhasrat bermain di Piala Dunia dan mereka berhak mendapat peluang itu," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia hanya mencatat kemenangan ke atas UAE pada 1980 dan 1982, selain seri sekali dan tewas lapan kali.

-- BERNAMA

Berita Harian X