Ahad, 5 Oktober 2014 | 8:30am

Kaum Cina, India manfaat DEB

APABILA sebuah akhbar memakai tajuk 'Apa Lagi Cina Mahu?' tahun lalu, banyak pihak, terutama berkepentingan Cina bising.

Mereka anggap soalan itu rasis dan memberi hujah bahawa sokongan sebahagian rakyat kepada DAP dan pembangkang tidak ada kena mengena dengan perkauman. Bagi sebahagian lagi rakyat, soalan itu relevan kerana mereka melihat hakisan pengaruh Melayu dalam politik negara boleh membahayakan kedudukan pribumi kerana orang Cina sudah menguasai perniagaan, perdagangan dan sektor profesional.

Ketidakseimbangan pendapatan cetus keresahan

Sentimen mereka didasari penguasaan mutlak kaum Cina dalam ekonomi negara dan wujudnya ketidakseimbangan pendapatan, pembahagian kekayaan dan pemilikan aset berbanding Bumiputera. Ini sesuatu yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan mana-mana negara yang berbilang kaum, bukan saja di Malaysia. Minggu lalu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akui bahawa ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan boleh menyebabkan kegelisahan dan ketegangan kaum. Tiga hari lalu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyebut perbezaan pendapatan yang ketara antara kaum dan taburan kekayaan yang tidak serata adalah antara punca sukarnya kita membasmi rasuah, terutama dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat.

Kajian empiris terbaharu menunjukkan 72 peratus warga Malaysia yang tidak memiliki aset kewangan adalah Bumiputera, berbanding 21 peratus Cina dan tujuh peratus India. Ini selaras dengan hakikat 70 peratus isi rumah dalam kalangan 40 peratus termiskin di negara ini adalah Bumiputera. Data tahun 2008 menunjukkan bahawa 79 peratus rakyat Malaysia berpendapatan bulanan bawah RM1,000 adalah Melayu. Secara purata, pendapatan isi rumah Melayu pada tahun 2012 ialah RM4,457 berbanding RM6,366 Cina dan RM5,233 India, manakala aset kewangan median orang Melayu pada tahun 2009 ialah RM1, bagi orang Cina adalah RM2,135. (Baca The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia oleh Muhammed Abdul Khalid, MPH Group Publishing, Kuala Lumpur, 2014).

Dakwaan pembangkang, kumpulan pendesak tak tepat

Walaupun DAP dan kumpulan pendesak rasis seperti Dong Zong dan Suqui sering mengecam kerajaan kerana dasar yang mempertahan hak istimewa Melayu, kajian membuktikan kaum Cina memperoleh manfaat paling besar daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menguasai semua bidang ekonomi dan industri, kecuali pertanian dan perkhidmatan. Walaupun Cina cuma 24 peratus daripada jumlah 30 juta penduduk Malaysia pada tahun 2012, mereka menguasai kerjaya profesional. Kini, lebih ramai akauntan dan arkitek Cina daripada Melayu, manakala 70 peratus CEO syarikat di Malaysia pada tahun 2005 adalah Cina.

Cina kuasai 70 peratus aset komersial

Kajian Dr Muhammed, pemegang ijazah kedoktoran (magna cum laude) dari Institute d'etudes Politiques de Paris, menunjukkan, pemilikan ekuiti korporat kaum Cina meningkat dalam tempoh DEB, iaitu daripada 23 peratus (1970) kepada 44 peratus (2006). Kaum Cina menguasai 70 peratus aset komersial, termasuk kilang dan bangunan perniagaan negara ini dan 59 peratus syarikat di Bursa Malaysia. Hasil kaji selidik beliau sekali gus menepis dengan hujah dan dakwaan bahawa pertumbuhan ekonomi Cina disekat kerajaan dan bahawa DEB bersifat diskriminasi atau hanya menguntungkan Bumiputera. Beliau membuktikan dasar membasmi kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan dimanfaat semua kaum, malah penurunan kadar kemiskinan adalah paling ketara dalam kalangan orang Cina; daripada 26 peratus (1970) kepada 5.4 peratus (1990). Kadar kemiskinan Cina hari ini cuma 0.3 peratus berbanding India (1.8 peratus) dan Melayu (dua peratus).

Bajet 2015 yang bakal dibentang dan dasar ekonomi negara harus beri perhatian kepada 90 peratus penduduk negara ini yang tidak mempunyai sebarang simpanan dan 60 peratus yang tidak memiliki aset pelaburan, berpunca daripada kemiskinan dan kekangan kewangan. Perbandingan kekayaan berdasarkan etnik menunjukkan kaum Cina dan India umumnya adalah masing-masing 45 peratus dan 39 peratus lebih kaya daripada Melayu. Satu faktor amalan masyarakat Cina ialah memindahkan harta pusaka dari generasi ke generasi. Walaupun tidak meliputi semua orang Cina, kajian menunjukkan antara 52 dan 81 peratus kekayaan terkumpul orang Cina adalah pemindahan harta pusaka daripada ibu bapa mereka. Pada tahun 2009, secara purata, individu Cina memiliki 2.5 kali ganda lebih banyak harta menjelang umur 25 tahun berbanding Melayu kerana faktor ini.

Teori mengenai pertumbuhan berhujah bahawa pendapatan (dan pemilikan aset) juga bergantung kepada tahap pendidikan, pengalaman, kemahiran dan teknologi. Jika ini diambil kira, jelas kaum Cina tetap memiliki kelebihan. Mereka monopoli sektor pengajian tinggi swasta. Mereka mempunyai peluang dan keupayaan lebih tinggi mendapat pendidikan, kemudahan dan peluang perniagaan kerana kekayaan dan penguasaan sumber ekonomi, selain akses lebih luas kepada teknologi, infrastruktur, jaringan perdagangan dan pelbagai kemudahan kerana majoriti tinggal di bandar.

Berita Harian X