Rabu, 18 November 2015 | 7:06am
Loh Jack Chang.

Skuad tambah emas kejohanan wushu dunia

KUALA LUMPUR: Skuad wushu kebangsaan menambah satu lagi pingat emas dan tiga perak pada hari keempat Kejohanan Wushu Dunia ke-13 2015 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, semalam.

Loh Jack Chang mempamerkan aksi meyakinkan untuk meraih pingat emas dalam acara Taijiquan lelaki, sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya dari Myanmar Nyein Chan Ko Ko yang meraih pingat perak diikuti peserta dari Macau, Chong Ka Seng untuk pingat gangsa.

Kelmarin, atlet berusia 28 tahun, yang juga pemenang pingat emas dalam disiplin yang sama di Sukan SEA Singapura itu, turut meraih pingat gangsa dalam acara Taijijian lelaki.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet dari China, Ma Jian Chao dan pingat perak diraih Araya Tomohiro dari Jepun.

Pada hari ketiga kejohanan semalam, Malaysia meraih dua pingat emas menerusi Ho Mun Hua dalam acara Nandao lelaki dan Chan Lu Yi dalam acara Tajiquan wanita.

Sementara itu, Wong Weng Son secara peribadi menambah dua lagi pingat perak untuk skuad negara menerusi acara Qiangshu dan Changquan lelaki manakala pingat perak ketiga hari ini diraih gandingan Chai Fong Wei dan Phoon Eyin dalam acara Duilian wanita.

Pada hari pertama kejohanan pada Sabtu lalu, Wong meraih pingat gangsa dalam acara Jianshu lelaki.

Malaysia setakat ini menduduki tangga keempat dengan tiga emas, empat perak dan empat gangsa manakala kuasa besar acara itu, China mendahului carta pungutan pingat dengan tujuh pingat emas.

Tuan rumah, Indonesia di tempat kedua dengan enam emas, satu perak dan enam gangsa dan diikuti Hong Kong dengan lima emas, empat perak dan satu gangsa.

Pada kejohanan di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Malaysia meraih empat pingat emas, lima perak dan lima gangsa.

Sebanyak 78 negara mengambil bahagian dalam acara wushu yang mahu mencuri perhatian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi membolehkan acara itu tersenarai dalam temasya Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020.

- BERNAMA

Berita Harian X