Rabu, 18 November 2015 | 6:32pm

Nonny Nadirah akui tuah watak antagonis


PELAKON, Nonny Nadirah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Memulakan kerjaya seni sebagai penyanyi menerusi Akademi Fantasia musim kelima, tuah nyata lebih menyebelahi Nonny Nadirah dalam dunia lakonan.

Kerjayanya memang kian bersinar selepas terbabit dalam drama Istikharah Cinta walaupun dia sendiri sudah beberapa tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan sebelum ditawarkan peluang beraksi dalam naskhah popular terbabit.

Nonny yang berasal dari Putatan, Sabah, tidak menafikan betapa hebat penangan watak antagonis yang dipegangnya dalam drama yang bersiaran di TV3 itu.

Lakonannya yang menonjol dalam drama berkenaan juga membuatkan produser dan pelakon terkenal, Ziela Jalil, menyunting dirinya untuk membintangi karya terbitan Pena Creative Pictures berjudul Dia Isteri Luar Biasa pula selepas itu.

"Saya perlu berterima kasih kepada drama Istikharah Cinta kerana menjadi kemuncak kepada kerjaya seni saya.

"Maklum balas yang diterima kerana drama itu cukup positif. Tiga episod terakhir drama itu juga menjadi aliran di dunia menerusi laman sosial. Peminat gembira dan puas hati dengan lakonan yang saya berikan.

"Bagaimanapun saya tak boleh selesa dengan apa yang ada. Untuk sampai ke tahap sekarang ini, ia bukan mudah. Jadi saya harus kerja lebih kuat lagi untuk terus memantapkan kerja lakonan," katanya.

Hingga saat ini, kebanyakan tawaran yang diterimanya lebih cenderung kepada watak antagonis.

"Memang gara-gara watak antagonis itu, ada yang maki dan jeling ketika jumpa saya di luar. Ketika ini saya melunaskan penggambaran Cinta Hati Abah pula dan sekali lagi saya melakonkan watak jahat.

" Ia lagi mencabar. Nak tahu kenalah tunggu siaran Samarinda di TV3 tak lama lagi," katanya yang turut berbanding dengan pelakon, Zara Zya dan Afiq Muiz.

Nonny berkata, beliau sememangnya tidak memilih dalam tawaran berlakon.

"Saya terima semua rezeki yang Tuhan bagi. Peluang bukan selalu datang dan saya kena buat betul-betul sekalipun watak yang sering diterima cenderung ke arah antagonis," katanya.

Berita Harian X