Ahad, 5 Oktober 2014 | 3:16pm

Keriangan malam raya bertukar tragedi, rumah terbakar

DUNGUN: Keriangan suasana sambutan Aidiladha tahun ini bertukar tragedi bagi sebuah keluarga di Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun apabila rumah mereka hangus terbakar, malam tadi.

Che Osman Ahmad, 74, berkata ketika kejadian kira-kira 9.30 malam, beliau sedang membakar lemang bersama-sama tiga anak dan menantu di rumah anaknya yang terletak berhampiran rumahnya.

"Kami semua terdengar satu bunyi letupan yang kuat, saya menjengah untuk melihat dan tidak sangka ada kebakaran di satu daripada bilik di rumah kami...semua tidak dapat diselamatkan.

"Pak cik sempat lari masuk ke dalam rumah dan capai beberapa dokumen penting saja sebelum api marak. Syukur tiada yang cedera," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Katanya, ketika kejadian isterinya, Siti Jaharah Wok, 64, sedang bersendirian memasak di dapur bergegas keluar menyelamatkan diri manakala dua anak yang tinggal bersama mereka kebetulan tiada di rumah.

Menurutnya, jentera Bomba dan Penyelamat hanya tiba selepas rumahnya rentung kerana terletak jauh dari balai bomba terdekat iaitu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, kira-kira 50 kilometer.

Che Osman berkata, beliau menganggarkan kerugian keseluruhan kira-kira RM50,000.

"Pak cik percaya kebakaran ini berpunca daripada litar pintas dan buat masa ini pak cik sekeluarga tumpang tinggal di rumah anak. Pak cik anggap ini semua ujian Allah SWT untuk pak cik sekeluarga pada hari raya Aidiladha tahun ini," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X