Jumaat, 20 November 2015 | 11:37am
SUSPEK kes memenggal kepala seorang lelaki di tepi Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Kampung Batu 4, disambung tujuh hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan polis. - Foto Ravale Savarinathan

Reman suspek kes penggal kepala disambung lagi

SLIM RIVER: Tempoh reman suspek kes memenggal kepala seorang lelaki di tepi Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Kampung Batu 4, di sini, disambung tujuh hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Suspek yang membawa kepala mangsa pulang ke rumah bapanya di Gerik sejauh 250 kilometer 13 November lalu, dibawa ke Mahkamah Majistret Slim River kira-kira jam 8.50 pagi tadi.

Perintah sambung reman kemudian dikeluarkan selama tujuh hari lagi oleh Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria, kira-kira jam 10.50 pagi selepas polis memohon perintah lanjutan reman berkenaan.

Suspek yang berusia 35 tahun, sebelum ini direman tujuh hari yang berakhir hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 13 November lalu, kepala seorang pekerja kedai barangan lusuh, K Ganesan, 50, dipenggal dan dilarikan manakala tubuhnya dicampak tepi jalan di lokasi kejadian.

Hasil maklumat dari rakan suspek yang juga seorang pemandu lori kontena, polis berjaya menangkap suspek serta menemui kepala mangsa yang dibungkus dalam plastik hitam di kediaman bapanya di Kampung Air Jada, Gerik, kira-kira 250 kilometer dari tempat kejadian. 

Berita Harian X