Sabtu, 21 November 2015 | 12:04am

Skizofrenia boleh sembuh


SKIZOFRENIA adalah penyakit kronik berpunca daripada kegagalan fungsi otak. - Foto hiasan

SIAPA sangka pemenang hadiah Nobel, John Nash dari Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang individu genius dalam bidang matematik adalah penghidap skizofrenia iaitu gangguan mental yang kronik selama tiga dekad.

Namun, selepas tiga dekad berjuang melawan penyakit berkenaan, Nash akhirnya berjaya pulih kala dan menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.

Cerita berkenaan membuktikan pesakit skizofrenia boleh disembuhkan.

Pesakit berpeluang menjalani kehidupan normal, meskipun terpaksa menjalani rawatan bertahuntahun lamanya.

Tetapi, apa itu skizofrenia? Mengapa ia dianggap sejenis penyakit mental yang teruk dan kenapa masyarakat memandang hina kepada pesakit skizofrenia? Adakah pesakit skizofrenia mampu membahayakan keadaan sekeliling?

Menurut Konsultan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Selayang, Dr Toh Chin Lee, skizofrenia adalah penyakit kronik berpunca daripada kegagalan fungsi otak.

Bercakap tidak masuk akal


PEMENANG hadiah Nobel, John Nash, adalah penghidap skizofrenia. - Foto ihsan China Foto Press

Katanya, pesakit skizofrenia biasanya mendengar suara yang tidak didengari orang lain atau mempercayai orang lain sedang menguasai pemikiran mereka atau mencederakan mereka.

"Berbanding manusia normal, pesakit skizofrenia bercakap perkara yang tidak masuk akal.

"Pesakit mendiamkan diri atau terlalu banyak bercakap selama berjamjam dan kelihatan normal sehinggalah apabila mereka memperkatakan sesuatu yang tidak masuk akal.

"Ia berkaitan dengan ketidakseimbangan unsur kimia dalam otak yang dipanggil neurotransmiter. Jika kimia yang membantu sel saraf berkomunikasi dengan otak ini terjejas, ini akan menyebabkan berlakunya pelbagai kemungkinan termasuk gejala penyakit mental.

"Justeru, tidak mustahil pesakit skizofrenia akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai norma manusia normal seperti membunuh," katanya kepada peserta bengkel Orang Gila atau Skizofrenia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Murung, asingkan diri


PENSYARAH dan Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Hazli Zakaria. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Katanya lagi, penghidap akan berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua kriteria gejala iaitu gejala positif seperti delusi dan halusinasi.

Pesakit juga mengalami gejala negatif seperti kemurungan, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal selain pertuturan dan tingkah laku tidak teratur.

"Ramai pesakit skizofrenia lambat mendapatkan rawatan kerana keluarga tidak sedar perubahan tingkah laku yang dialami pesakit dan situasi yang paling kerap berlaku.

"Pesakit lazimnya akan dibawa berubat secara tradisional dan percaya dirasuk makhluk halus.

"Dengan tanggapan seperti ini, ada kalanya rawatan yang dijalankan tidak menjadi dan mereka terus dibiarkan sehinggalah keadaan tidak dapat dikawal. Ketika itu barulah pesakit dihantar ke hospital dan menyebabkan pesakit mengambil masa yang lama untuk kembali pulih," katanya.

Ramai masih pilih kaedah rawatan tradisional


PESAKIT psikiatri masih memilih kaedah rawatan tradisional sebelum berunding dengan pakar psikiatri. - Foto hiasan

Pensyarah dan Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Hazli Zakaria, berkata dianggarkan 54 peratus daripada pesakit psikiatri mempunyai sekurangkurangnya satu hubungan dengan penyembuh tradisional sebelum berunding dengan perkhidmatan psikiatri.

Beliau berkata, keadaan ini menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat di negara membangun juga memilih mereka sebagai pilihan utama.

Katanya, perkara berkenaan bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di negara lain antaranya Indonesia, India, China, Korea, dan Filipina.

"Punca gangguan mental yang ditunjukkan pengamal perubatan tradisional seperti ilmu hitam atau gangguan roh jahat.

"Kebergantungan ini tidak boleh disalahkan kerana keadaan keluarga yang terlalu terdesak untuk memulihkan pesakit.

Sesi kaunseling pulihkan pesakit


SESI kaunseling untuk memulihkan pesakit skizofrenia. - Foto hiasan

"Mereka tahu jika kes berkenaan dirujuk kepada pakar perubatan moden akan mengambil masa, berbanding rawatan alternatif yang memberi penyelesaian terus kepada masalah itu," katanya Dr Hazli berkata, beliau tidak menafikan kebaikan yang diperoleh daripada rawatan alternatif, tetapi hanya kepada rawatan dalam kes neurosis sahaja.

Apabila seseorang itu merujuk kepada pengamal perubatan tradisional, beliau berkata, biasanya mereka akan dirawat menggunakan air bacaan, jampi, herba, urutan, dan doa.

Berbanding di hospital yang menggunakan ubat dan kaunseling dalam prosedur perubatan.

Namun, kedua-duanya rawatan itu mempunyai matlamat sama iaitu merawat penyakit daripada terus melarat. Rawatan tradisional hanya sebagai pelengkap kepada rawatan moden.

INFO

Rawatan awal bantu kawal kemelaratan

  • Skizofrenia dianggarkan memberi kesan kepada satu peratus populasi dunia dan jumlah ini meningkat.
  • Simptom skizofrenia muncul pada individu berusia antara 15 ke 35 tahun.
  • Secara gender, lelaki dan perempuan memiliki risiko sama mendapat skizofrenia tetapi gejala lebih cepat muncul pada lelaki.
  • Sekitar 80 peratus pesakit boleh menikmati kehidupan yang selesa dan produktif dengan mengikuti rawatan dan mendapatkan ubat-ubatan mengikut jadual.
  • Pesakit skizofrenia lebih ramai membunuh diri jika dibandingkan dengan populasi umum. Dianggarkan 10 peratus pesakit (terutama lelaki muda) membunuh diri.
  • Skizofrenia boleh terjadi dalam keluarga. Risiko mewarisinya bagi mereka yang memiliki keluarga terdekat mengalami skizofrenia 10 peratus manakala 40 peratus bagi mereka yang memiliki ibu bapa atau kembar yang skizofrenia.
  • Skizofrenia Bermaksud 'minda yang terpisah' dan ia mungkin anggapan salah mengenai `split personality' bermula. Seorang psikiatri Sweden, Eugen Bleuler menggunakan perkataan ini buat kali pertama pada tahun 1911 untuk menjelaskan keadaan pesakit yang pemikirannya seakan tidak boleh lagi bersambung.

551 dibaca
Berita Harian X