Sabtu, 21 November 2015 | 1:45pm
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad beramah mesra dengan jurulatih- jurulatih Bola Sepak Malaysia ketika majlis Bengkel 'Hala Tuju Bola Sepak Negara' di Wisma FAM hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad beramah mesra dengan jurulatih- jurulatih Bola Sepak Malaysia ketika majlis Bengkel 'Hala Tuju Bola Sepak Negara' di Wisma FAM hari ini. - Foto BERNAMA

Calon ketua jurulatih Harimau Malaysia belum disenarai pendek

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad memberi ucapan perasmian ketika majlis Bengkel 'Hala Tuju Bola Sepak Negara' di Wisma FAM hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad memberi ucapan perasmian ketika majlis Bengkel 'Hala Tuju Bola Sepak Negara' di Wisma FAM hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pasukan Petugas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum menerima laporan dari panel pemilihan khas berhubung senarai pendek calon untuk jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, berkata panel pemilihan khas itu masih belum mengadakan sebarang mesyuarat berhubung pemilihan berkenaan.

"Senarai pendek calon untuk pemilihan jawatan berkenaan masih belum ada. Saya ada dengar bisikan yang mengatakan, lambat sikit tapi ia akan diumumkan sebelum masuk tahun baharu.

"Apa yang boleh saya kaji balik ialah macam mana nak pendekkan masa pemilihan berkenaan. Itu kita akan jumpa orang pengurusan dalam jawatankuasa dan jabatan teknikal untuk mempercepatkan proses pemilihan," katanya selepas merasmikan bengkel Hala Tuju Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Bengkel anjuran Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) di Wisma FAM itu dihadiri lebih 30 jurulatih tempatan dari seluruh negara.

Abdul Mokhtar berkata panel pemilihan khas akan menilai latar belakang 15 calon yang memohon jawatan itu sebelum menyerahkan hasil penilaian kepada jawatankuasa berkenaan dan keputusan akhir akan dilakukan oleh pihak FAM.

Panel pemilihan khas itu terdiri daripada enam individu termasuk tiga wakil Majlis Sukan Negara (MSN), timbalan pengerusi jawatankuasa pasukan petugas Datuk Mohd Junid Mohd Noor, bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan dan Pengarah Teknikal FAM, Fritz Schmid.

Media sebelum ini melaporkan jawatan ketua jurulatih kebangsaan yang kini disandang sementara oleh ketua jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee akan diketahui pada 30 Oktober lepas.

Kim Swee dilantik oleh FAM bagi mengendalikan sementara skuad Harimau Malaya bagi baki lima perlawanan Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bermula dengan perlawanan keempat menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lepas.

Jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kosong setelah Dollah Salleh meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 0-10 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan kelayakan di Abu Dhabi, UAE, 3 September lepas. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X