Ahad, 22 November 2015 | 10:29pm

MTBC senarai 6 wakil ke Abu Dhabi

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) hari ini, menamakan enam pemain wanita elit pada Kejohanan Tenpin Boling Wanita Dunia (WWC) 2015 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dari 5 hingga 15 Disember ini.

Menurut kenyataan MTBC, pasukan berkenaan terdiri daripada Sin Li Jane, Esther Cheah, Natasha Roslan, Sharon Koh, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Victoria Chin.

"Ia pasukan campuran terdiri daripada pemain berpengalaman dan pemain yang menyertai kejohanan itu buat pertama kali.

"Natasha, Syaidatul Afifah dan Victoria, adalah muka baharu yang akan beraksi pada kejohanan dunia ini. Dari segi pengalaman, pemain-pemain baharu ini bukan calang-calang pemain. Mereka mempunyai pengalaman menyertai kejohanan utama," kata ketua jurulatih Holloway Cheah kepada Bernama.

Cheah bagaimanapun, tidak meletakkan sasaran tertentu kepada pasukan berkenaan pada kejohanan terbabit.

Katanya, kejohanan itu akan menyaksikan saingan sengit dengan penyertaan banyak pasukan handalan dunia.

"Amat sukar membuat ramalan. Pasukan terbaik seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden, Colombia dan Singapura turut bertanding.

"Tumpuan kita lebih kepada acara berpasukan. Saya berharap mereka dapat menunjukkan prestasi terbaik," kata Cheah.

Pencapaian terbaik Malaysia pada WWC ialah di Alborg, Denmark (2005) dan Monterrey, Mexico (2007) apabila masing-masing, meraih satu pingat emas dan satu gangsa.

Dalam kejohanan dwitahunan itu pada 2009 di Las Vegas, Amerika Syarikat, pemain Malaysia pulang dengan tangan kosong.

Pada 2011, Malaysia berjaya merangkul satu pingat emas dalam acara perseorangan menerusi Jaqueline Sijore, dan di kejohanan terakhir pada 2013, Malaysia membawa pulang satu pingat gangsa dalam acara berpasukan. - BERNAMA

Berita Harian X