Isnin, 23 November 2015 | 2:32pm

AmGeneral Insurance kaji tambah komponen takaful

[email protected]

KUALA LUMPUR: AmBank Group mempertimbangkan untuk memperluaskan perniagaan AmGeneral Insurance Bhd yang kini menawarkan perkhidmatan insurans am dengan komponen takaful. 

Pengerusi, Tan Sri Azman Hashim, berkata pertimbangan itu yang bakal memberi nilai tambah kepada AmGeneral Insurance akan diberi tumpuan pada masa akan datang.

"Kita terbuka untuk menambah komponen takaful dalam AmGeneral Insurance. Ia adalah sesuatu yang menjadi pertimbangan kami," katanya kepada media selepas merasmikan ibu pejabat AmGeneral di sini, hari ini.‎

Selain perasmian itu, turut berlangsung pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara AmGeneral Insurance dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral, Derek Roberts; dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Sahrim Ahmad. 

AmGeneral Insurance kini hanya menawarkan pelan insurans Am dan tidak memiliki cabang takaful, namun sayap perniagaan AmBank Group, AmMetLife menawarkan pelan takaful hayat.

Berita Harian X