Isnin, 23 November 2015 | 8:19pm

Ahmad Yusof pengendali baharu Terengganu


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melantik Ahmad Yusof sebagai ketua jurulatih baharu. - Foto ihsan terengganufa

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melantik Ahmad Yusof sebagai ketua jurulatih baharu untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

Sebelum ini, pengendali berusia 55 tahun ditugaskan untuk memangku jawatan ketua jurulatih selepas Abdul Rahman Ibrahim membuat keputusan untuk berehat, Jun lalu.

Pelantikan pengendali kelahiran Pulau Pinang itu sekaligus menamatkan spekulasi mengenai desas-desus pengambilan ketua jurulatih baharu skuad Penyu sebelum ini. Pengumuman pelantikan ketua jurulatih Terengganu diumumkan Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBSNT di Pejabat PBSNT, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden merangkap pengurus pasukan, Marzuki Sulong dan Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman. Ahmad Nizam berkata, pihaknya sedang mengenalpasti seorang jurulatih import taktikal merangkap penolong ketua jurulatih kepada Ahmad dan mengekalkan Mustapa Kamal Abdul Wahad sebagai pembantu jurulatih.

"Kita bersetuju untuk melantik Ahmad daripada penolong sebagai ketua jurulatih berdasarkan laporan penuh pencapaiannya selepas memangku jawatan ini dan beliau (Ahmad) berjaya merakamkan 10 kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

"Jadi, kita berasakan Ahmad memang individu paling layak diberikan tanggungjawab membimbing pasukan untuk musim 2016," katanya. Ahmad Nizam berkata, pihaknya juga memutuskan untuk menggugurkan sembilan pemain daripada skuad musim ini dan akan digantikan dengan pemain baharu termasuk seorang awang import keempat. "Pemain baharu yang akan menyarung jersi Terengganu termasuk tonggak kebangsaan dan pemain skuad Piala Presiden.

"Buat masa sekarang, kita tidak boleh dedahkan nama pemain baharu kerana mereka masih mempunyai kontrak dengan majikan masing-masing termasuk yang sedang beraksi untuk suku akhir Piala Malaysia," katanya.

Berita Harian X