Selasa, 24 November 2015 | 6:41pm

Ahmad Yusof tak sangka kendali Terengganu

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih baharu Terengganu, Ahmad Yusof mengakui tidak menyangka Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melantiknya untuk menerajui skuad Penyu bagi musim 2016.  

Begitupun, pengendali berusia 55 tahun itu berkata pelantikan itu adalah satu penghargaan buat dirinya dalam bidang kejurulatihan.  

"Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan (PBSNT) kerana memberi kepercayaan untuk membimbing Terengganu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.  

"Malah, saya sifatkan pelantikan ini sebagai satu amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya," katanya kepada BH Sukan, di sini, hari ini.   

Semalam, Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid mengumumkan pelantikan Ahmad yang sebelum ini menyandang jawatan penolong jurulatih sebagai ketua jurulatih baharu musim depan.  

Pengumuman itu dibuat selepas keputusan sebulat suara dibuat ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBSNT di Pejabat PBSNT, di sini.  

Mengulas lanjut, Ahmad berkata dia juga bertekad mahu membuktikan sesuatu dengan meraih kejayaan bersama Terengganu, tahun depan.  

Rekod Ahmad dalam bidang kejurulatihan bermula pada tahun 2008 dengan Pahang sebagai ketua jurulatih diikuti kelab Proton FC (penolong jurulatih 2009); Kedah (ketua jurulatih 2010 hingga 2011); FELDA United (penolong jurulatih 2012) dan Terengganu (penolong jurulatih 2014 hingga 2015).

12 dibaca
Berita Harian X