Rabu, 6 Jun 2018 | 6:53am
PROGRAM World #QuranHour berjaya menyatukan umat Islam di seluruh dunia apabila ummah meluangkan masa selama sejam membaca, memahami dan menghayati ayat suci al-Quran pada ruang waktu yang berbeza. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

World #QuranHour satukan ummah

WORLD #QuranHour boleh dilihat sebagai jenama terkenal yang berjaya mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, rentas budaya dan negara.

Kejayaan hebat program yang sudah memasuki tahun ketiga diadakan secara besar-besaran itu apabila mampu menarik masyarakat Islam di seluruh dunia untuk mengalunkan ayat suci al-Quran pada satu masa yang gemanya terasa di seluruh pelusuk bumi.

Dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kali pertama pada 11 September 2016, World #QuranHour menghimpunkan kira-kira 4,000 peserta di lokasi utama Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Selain UIAM, program sama turut diadakan di 700 lokasi di Malaysia dan disertai umat Islam dari Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Albania, Australia, Bangladesh, Belgium, Bosnia-Herzegovina, Brunei Darussalam, Bulgaria, Russia, New Zealand, Mesir, Perancis, Indonesia dan Turki.

Hebatnya al-Quran sebagai mukjizat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ajakan untuk bersama membacakan ayat suci itu berjaya menyatukan lebih 10 juta umat Islam dari 50 negara seluruh dunia.

Secara serentak pada ruang waktu yang berbeza, umat Islam di seluruh dunia meluangkan masa selama sejam membaca, memahami dan menghayati ayat suci al-Quran.

Pada penganjuran kali pertama itu, tarikhnya jatuh pada 9 Zulhijjah, sekali gus menjadikan World #QuranHour turut disertai jemaah dan petugas Tabung Haji (TH) Malaysia yang sedang melaksanakan ibadat wukuf bersama lebih 2 juta jemaah di Padang Arafah.

Program berstatus global

Meneruskan kesinambungan menyemai amalan baik menerusi aktiviti membaca, bertadabbur dan menghayati inti pati surah Yasin, program World #QuranHour dianjurkan buat kali kedua pada tarikh sama 9 Zulhijjah tahun lalu.

Tarikh yang jatuh pada hari negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60 menjadikan majlis membaca al-Quran disertai ribuan rakyat sebahagian daripada pengisian sambutan yang diadakan di Dataran Merdeka.

Esok, sebanyak 3,000 'hotspot' seluruh dunia dijangka bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran secara serentak pada program World #QuranHour. Setakat ini, 49 negara sudah menyatakan persetujuan menyertai antaranya Australia, Indonesia, Arab Saudi, AS dan Korea Selatan.

Pada tahun ini juga, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dijangka turut berangkat. Yang turut mengesahkan kehadiran ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Muar yang juga alumni UIAM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sewajarnya, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana inisiatif daripada penganjuran program berstatus global itu dapat menggerakkan gelombang umat Islam untuk berinteraksi dengan al-Quran.

Tambahan pada Ramadan yang diturunkan al-Quran, kita menjadi sebahagian ejen mengajak hati yang dekat dengan kitab suci itu untuk terus membaca dan menghayati mesej dalam kitab memandu kehidupan umat Islam.

Al-Quran pelembut hati

Ternyata, program ini berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dalam kalangan masyarakat di negara ini dan kesungguhan menjadikan ia acara tahunan menggambarkan semangat untuk bersama menyebarkan syiar Islam.

Walaupun hanya sejam yang diluangkan bagi menjayakan program berkenaan, ia tetap memberi makna kerana alunan ayat suci yang dibaca atau didengari memiliki kuasa untuk menundukkan hati yang keras.

Saidina Umar al-Khattab RA yang terkenal sebagai seorang yang tegas dan keras hati, akhirnya tunduk kepada al-Quran, hatinya menjadi lembut selepas mendengar surah Taha.

Begitulah al-Quran melembutkan hati mereka yang menyertai program World #QuranHour di seluruh dunia.

Bukan semua yang menyertai majlis pada hari dan waktu itu daripada kalangan yang istiqamah berinteraksi dengan al-Quran.

Namun, hati mereka tertarik untuk bersama keluarga, rakan, sahabat, jiran dan orang yang tidak dikenali menjayakannya.

Indahnya saat itu, kita dapat melihat kesungguhan anak kecil, kanak-kanak, remaja, dewasa, orang tua, golongan kurang upaya dan pemimpin negara termasuk kumpulan artis meluangkan masa menghadirkan diri.

Menaikkan imej Islam

Seakan dapat melihat not muzik bertebaran naik ke udara apabila alat muzik dimainkan, sudah tentu kita boleh membayangkan huruf dan ayat al-Quran berapungan di ruang angkasa ketika dibacakan wahyu Allah SWT yang disampaikan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW.

Gambaran itulah bakal terhasil pada esok tatkala umat Islam mula menyebut nama Allah SWT dan membacakan perintah, larangan dan pengajaran terkandung dalam ayat suci al-Quran, yang gemanya bakal menggetarkan bumi ini.

Uniknya al-Quran sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW, usaha memartabatkannya mendapat sokongan padu agensi media tempatan termasuk akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), iaitu BH, New Straits Times dan Harian Metro.

Semoga usaha berterusan daripada pelbagai pihak dan sokongan umat Islam seluruh dunia membasahkan bibir mereka dengan seruan suci mendapat ganjaran berlipat ganda pada bulan Ramadan ini.

Secara tidak langsung, kempen mengajak berinteraksi dengan al-Quran melalui World #QuranHour mampu menaikkan imej Islam dan menyuntik semangat mendalami, menghayati serta ajaran terkandung di dalamnya.

210 dibaca
Berita Harian X