Selasa, 26 Jun 2018 | 2:43pm
DR Mohd Murshidi. - Foto NSTP

Bincang empat mazhab secara ilmiah

KUALA LUMPUR: Perbincangan perbandingan antara mazhab wajar dilakukan secara ilmiah dalam bentuk wacana atau penyelidikan seperti dalam silibus serta kursus pengajian Islam di universiti.

Ia juga perlu diletakkan dalam kerangka tepat, iaitu dibincangkan secara tertutup untuk tujuan pengajian dan pembelajaran dengan bimbingan ahli bidang fiqh bagi mengelak timbul salah faham dalam soal hukum.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Murshidi Mohd Noor melihat pengajian fiqh perbandingan empat aliran atau mazhab pada peringkat universiti bersifat sihat kerana masih boleh dikawal.

Beliau berkata, ada universiti menggalakkan pelajar peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) untuk berijtihad, iaitu mengutarakan pandangan baharu dan ia mesti berbeza daripada ulama lain.

Katanya, apa yang berlaku ialah ada sesetengah ahli akademik atau penuntut yang membawa wacana akademik itu untuk dibincangkan secara terbuka dengan orang awam dalam siri kuliah agama.

Ganggu pemahaman

"Gejala ini boleh memberi gangguan kepada pemahaman umat Islam, terutama mereka yang tidak begitu arif atau cetek ilmu fiqh.

"Kita belajar fiqh bukan untuk menghentam orang lain, sebaliknya bertujuan untuk mengamalkan Islam berasaskan pemahaman yang betul.

"Apabila ada pengajian di universiti yang membuka perbincangan empat mazhab, silakan kerana ia bertujuan sebagai latihan kepada pelajar. Bagaimanapun, apabila perbincangan dibuka kepada awam, akan banyak khilaf timbul, sedangkan kita bukanlah mujtahid," katanya kepada BH di sini.

Mohd Murshidi berkata, masyarakat umumnya tidak memiliki kelayakan untuk berijtihad, apatah lagi memilih sesuatu hukum fiqh daripada mazhab tertentu yang dirasakan bersesuaian untuk dipraktikkan.

Oleh itu, bagi mengelak timbul permasalahan dalam kalangan masyarakat seperti sesuka hati mengikut aliran tertentu dalam bab hukum atas pertimbangan sendiri, perlu dikekalkan pengajaran satu aliran mazhab, iaitu mazhab Syafie.

Elak perdebatan

Beliau turut membidas pandangan pihak tertentu yang sengaja memperbesar-besarkan dakwaan mengaitkan aliran mazhab Syafie diamalkan masyarakat Islam hari ini sebagai tidak tulen.

Katanya, perkara ini tidak sepatutnya menjadi perdebatan kerana hanya ulama mujtahid yang layak untuk membicarakan soal ketulenan atau sebarang pertikaian mengenainya.

"Jika kita tidak jumpa bab hukum mengenai perkara tertentu dalam kitab besar seperti al Majmu' karangan Imam an-Nawawi, tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakannya pandangan tidak asli.

"Sedangkan ulama yang berijtihad ini pengajiannya bersanad sampai kepada Imam an-Nawawi, jadi mengapa mempersoalkan kelayakannya," katanya.

Hormati pandangan ulam

Beliau turut menegur sesetengah masyarakat yang mempelajari ilmu agama dengan niat dan muslihat seperti ingin mengkritik atau menjatuhkan ulama tertentu.

Perkara itu berlarutan sehingga banyak amalan seperti zikir beramai-ramai selepas solat dan membaca surah Yasin turut dihentam kerana didakwa bertentangan dengan aliran mazhab Syafie sendiri.

Katanya, nasihat supaya menghormati pandangan ulama, memahami mereka adalah ahli dalam bidang hukum dan tidak sesekali bertaklid buta sepatutnya disebarkan dalam kalangan umat Islam supaya pertikaian mengenai keaslian aliran mazhab tidak terus diperdebatkan.

Berita Harian X