Isnin, 9 Julai 2018 | 6:20pm
MUHAMMAD Abdullah menterjemah dan menyusun Buku Biografi Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi itu dari Bahasa Urdu ke dalam Bahasa Melayu sedang menerangkan isi kandungan buku itu pada program diskusi buku perjalanan hidup Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi, di Masjid Negeri Sembilan, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

Teladani Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi

SEREMBAN: Buku Biografi Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi karya Maulana Sayyid Muhammad Sani al-Hasani, wajar dijadikan panduan umat Islam untuk mengenali ketokohan pendakwah terkemuka dunia Islam itu.

Panel Penyelidik Majlis Fatwa Negeri Sembilan, Ustaz Muhammad Abdullah Muhammad Amir, berkata sumbangan tokoh itu amat besar dalam memartarbatkan Islam khususnya dari segi gerakan dakwah.

Beliau berkata, Maulana Muhammad Yusuf ialah tokoh yang berjaya menghimpunkan antara dakwah dan ilmu dalam Islam ke tahap yang tinggi.

"Biografi ini berkongsi ketokohan Maulana Muhammad Yusuf dalam perjuangan memartabatkan Islam dengan menunjukkan suri teladan yang tiada tolok bandingnya dalam menjalani kehidupan seharian.

"Beliau menghabiskan sepanjang hayatnya untuk Islam, selain memberi penekanan betapa perlunya umat Islam bersatu dalam melaksanakan usaha dakwah.

"Beliau mahu setiap individu Islam perlu melakukan usaha dakwah untuk menyelamatkan umat Islam dari kesesatan dan tergelincir ke lembah kehinaan," katanya kepada BH selepas Diskusi Buku Perjalanan Hidup Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi di Masjid Negeri Sembilan, di sini.

Muhammad Abdullah berkata, secara ringkasnya Maulana Muhammad Yusuf dilahirkan di Kandhala pada Jamadil Awal 1335 hijrah atau 20 Mac 1917 dan menerima pendidikan awal daripada bapanya sendiri yang juga pendakwah dan pemilik madrasah, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi.

Katanya, tokoh itu berjaya menghafaz al-Quran pada usia 12 tahun, selain menguasai kesusasteraan Arab dan Parsi dengan baik serta turut mempelajari hadis 40 Shah Waliyullah Dehlawi, Misykat Masabih, Mustadrak Hakim, Mu'watta Imam Malik, Mu'watta Imam Shaibani, Syamail Tirmizi dan Hadith 40 Imam Nawawi.

"Ketinggian ilmunya tidak dapat dinafikan, sekali gus tokoh itu wajar dijadikan ikon oleh umat Islam dalam usaha mencapai darjat yang tinggi.

"Beliau juga memiliki keperibadian yang baikm selain sebagai pendakwah dan syeikh tariqat," katanya yang mengambil masa selama enam bulan menterjemah buku berkenaan sebelum dapat diterbitkan pada April lalu.

Muhammad Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tahfiz Negeri Sembilan berkata, sepanjang hayatnya selama 65 tahun, Maulana Muhammad Yusuf, menghasilkan tiga kitab untuk panduan umat Islam, di sebalik kesibukannya berdakwah.

"Sukar untuk kita temui individu sepertinya pada zaman sekarang.

"Adalah wajar sekali intisari dalam buku Biografi Maulana Muhammad Yusuf ini dapat dikongsi bersama dengan seluruh umat Islam di negara ini khususnya generasi muda dan pelajar universiti," katanya.

88 dibaca
Berita Harian X