Khamis, 2 Ogos 2018 | 10:22am
Foto hiasan

Kerajaan perlu ambil berat persoalan mazhab

KUALA LUMPUR: Konsep bermazhab tidak bermakna Islam yang diamalkan di negara ini bersifat jumud. Bahkan, ia sebenarnya berperanan bagi memastikan masyarakat tidak berada dalam keadaan keliru, saling mempertikai sehingga mengakibatkan perpecahan sesama sendiri.

Keperluan untuk terikat dengan mazhab ialah jalan terbaik bagi mengelakkan lebih banyak konflik berkaitan hukum, khususnya dalam kalangan orang awam.

Setiausaha Agung Ikatan Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Syed Shahridzan Syed Mohamed, berkata saranan pihak tertentu supaya kerajaan tidak perlu menumpukan kepada soal mazhab perlu dilihat dengan terperinci kerana ia membabitkan soal hukum syarak.

"Kerajaan perlu ambil berat dalam isu ini, apatah lagi ia membabitkan hal agama. Urusan agama termasuk fatwa, hukum dan menentukan hukum daripada sudut syarak mesti dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

"Dalam hal sebegini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memainkan peranan dengan merujuk kepada Majlis Raja-Raja.

"Jika kita lihat, badan fatwa di setiap negeri dalam menyelesaikan isu berkaitan hukum akan merujuk serta mengutamakan mazhab Syafie," katanya di sini.

Syed Shahridzan berkata, mazhab Syafie sejak sekian lama ialah mazhab asas yang diamalkan sejak turun temurun dan menjadi nadi penyatuan umat Islam di rantau Nusantara.

Beliau berkata, sekiranya hukum bercampur aduk mazhab dengan yang lain, ia tentu akan mengelirukan masyarakat, khususnya yang tidak mempunyai ilmu atau kepakaran dalam pengajian Islam.

"Sebab itu pentingnya kekal kepada satu mazhab supaya masyarakat awam dapat beramal dengan hukum dan tidak memilih pendapat yang paling senang mengikut hawa nafsu.

"Ulama Islam tersohor, Syeikh Dr Wahbah Al-Zuhaili dalam mukadimah karyanya, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh berkata, memilih pendapat yang paling senang di antara mazhab adalah menuruti hawa nafsu dan ia diharamkan oleh ulama mana-mana mazhab sekali pun.

"Jadi, disebabkan itu masyarakat awam tidak sepatutnya sewenang-wenang didedahkan dengan pelbagai mazhab, melainkan dalam situasi tertentu," katanya.

Syed Shahridzan berkata, kelonggaran turut diberikan dalam isu hukum yang tidak dapat diselesaikan menggunakan mazhab Syafie dengan melihat pandangan lain.

"Ada masalah umat yang tidak dapat diselesaikan dalam mazhab Syafie, maka diambil pendapat kedua atau keluar daripadanya dengan merujuk kepada mazhab lain.

"Bukan tidak boleh berpindah mazhab, berbicara atau beramal dengannya. Cuma ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi," katanya.

Tentukan mazhab rasmi

Beliau berkata, kebanyakan negara Islam mengamalkan konsep bermazhab dengan menetapkan mazhab rasmi yang wajib diamalkan.

"Tidak benar jika dikatakan, negara yang terikat dengan mazhab ini tidak boleh langsung terkeluar daripadanya kerana ada sesetengah perkara itu tidak dapat diselesaikan, maka memerlukan bantuan mazhab lain.

"Arab Saudi yang ramai sangka tidak bermazhab sebenarnya mempunyai mazhab rasmi. Mereka bermazhabkan Hambali dan ia dapat dilihat menerusi silibus fiqh yang diajar di sana.

"Begitu juga di negara lain seperti Pakistan dan China yang bermazhabkan Hanafi, tetapi dalam masa sama ada mengambil hukum berasaskan mazhab Syafie dalam hal tertentu," katanya.

Memberikan contoh paling mudah, katanya, Tabung Haji (TH) menerusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan mengambil pendekatan mazhab Maliki dan Hambali untuk memudahkan bakal haji yang akan mengerjakan ibadah di tanah suci.

"Kita di Malaysia ini, mengikut mazhab Syafie jika tersentuh suami dan isteri, hukumnya batal wuduk.

"Jadi, TH mengambil pendekatan membenarkan pandangan mazhab Hambali dan Maliki, tidak batal wuduk sekiranya menyentuh isteri tanpa syahwat kerana keperluan yang mendesak," katanya.

Syed Shahridzan berkata, pendakwah patut lebih berhati-hati dan tidak berkongsi konsep kepelbagaian mazhab dalam hal hukum secara meluas kepada orang awam.

"Pengalaman saya dalam dunia dakwah lebih 15 tahun, ada segelintir pendakwah berkongsi hukum hakam yang bukan dari mazhab Syafie dalam ceramah.

"Ia membuatkan masyarakat menjadi keliru, bahkan ada yang mengakui sukar untuk memilih yang mana untuk diikuti.

"Saya cuma sarankan supaya ikutilah mazhab Syafie kerana itu yang kita amalkan sejak sekian lama," katanya.

Kepentingan mazhab

Beliau berkata, amalan bermazhab menjadikan masyarakat lebih berdisiplin dan sistematik dalam beragama.

Katanya, kepentingan mazhab dalam hal fekah perlu dipelihara kerana jika tidak, dibimbangi ia membuka pintu perbalahan selain perbincangan yang bersifat ancaman kepada ajaran Islam dan kesatuan ummah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata masyarakat di negara ini masih belum sampai tahap terbuka dalam menerima semua mazhab.

Katanya, orang awam perlu terlebih dulu memahami hukum secara mendalam setiap mazhab sebelum dibolehkan menerima pandangan mazhab selain mazhab Syafie yang menjadi pegangan kepada majoriti rakyat di negara ini.

"Saya gusar, sekiranya masyarakat dibenarkan untuk mengambil empat kaedah atau metodologi ini akan menyebabkan wujudnya kekeliruan. Ia boleh menyebabkan berlakunya pertelingkahan dalam masyarakat terutamanya yang membabitkan soal ibadat seharian.

"Atas sebab itu, segala isu berkaitan dengan Islam perlu berbalik semula kepada Majlis Raja-Raja. Raja dan Sultan di setiap negeri sudah melantik mufti yang berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa dan hukum untuk diguna pakai di setiap negeri," katanya.

Namun, Mohd Izhar Ariff berkata, sebagai umat Islam perlu menghormati pandangan yang dikeluarkan oleh ulama daripada mazhab lain, dan tidak menjatuhkan hukum sesat kepada pandangan selain mazhab Syafie.

Dalam masa yang sama juga, beliau berkata, tidak salah untuk mengguna pakai pandangan yang dikeluarkan oleh mazhab lain, sekiranya ada keperluan.

"Di Makkah, kita bersolat di belakang imam daripada mazhab Hambali, namun solat kita tetap dikira sah.

"Dalam soal jual beli, mazhab Syafie menetapkan perlu adanya ijab dan qabul. Namun menurut pandangan mazhab Hanafi, cukup sekadar membuat pembayaran. Jadi dalam perkara ini, pandangan mazhab Hanafi lebih diterima pakai oleh masyarakat kita," katanya.

Berita Harian X