Selasa, 11 September 2018 | 5:16pm
HIJRAH boleh dilakukan dengan melihat ke dalam diri sendiri dan mengenali pencipta kita, Allah SWT. Arkib NSTP/Khairull Azry Bidin

Hijrah landasan perubahan positif negara

HIJRAH dalam konteks semasa, perlu dijadikan landasan untuk melakukan perubahan positif dan tidak bertentangan dengan syariat, sekali gus menjadi fokus umat Islam di negara ini.

Hijrah juga menjadi simbol kejayaan hakiki umat Islam yang perlu dipelihara kerana sekiranya kita leka, cuai dan membiarkan Islam terus ditindas, tidak mustahil kegemilangannya turut tergugat.

Paling penting adalah melakukan hijrah diri, khususnya menukar cara berfikir dengan menjadikan al-Quran, hadis dan pandangan ulama sebagai panduan supaya tidak tersasar daripada landasannya.

Setiausaha Agung Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Syed Shahridzan Syed Mohamed, berkata hijrah Rasulullah SAW amat signifikan dijadikan rujukan kepada masyarakat hari ini dalam meneruskan keharmonian dikecapi.


SETIAUSAHA Agung Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Syed Shahridzan Syed Mohamed.

“Ada banyak hikmah yang boleh diambil daripada sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW antaranya kejayaan Baginda menyatukan dua puak utama, iaitu Aus dan Khazraj di Madinah yang bermusuhan serta berperang sejak bertahun lamanya.

Buang unsur negatif

“Nabi Muhammad SAW membawa mesej penyatuan sehingga menarik minat mereka untuk bersatu atas nama Islam. Baginda membawa nilai baik seperti tidak ada perbezaan berdasarkan kabilah, membuang sikap berpuak-puak dan memikirkan kabilah mereka lebih baik di antara kalangan kabilah lain.

“Semua manusia dikira sama di sisi Islam, manakala Allah SWT hanya mengambil kira ketakwaan mereka hingga membuatkan dua puak yang saling bermusuhan, tertarik dengan Islam,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Syed Shahridzan berkata, peristiwa hijrah turut menjadi saksi sejarah apabila Rasulullah SAW berjaya mempersaudarakan dua golongan, iaitu Muhajirin dan Ansar.

“Sebelum hijrah, Madinah dikenali sebagai Yathrib iaitu membawa kepada konotasi maksud hina yang disebabkan sikap kenegerian atau kabilah mereka yang terlalu kuat.

“Jadi, Baginda menggerakkan usaha penghijrahan umat Islam di kota itu, supaya mereka buang sentimen yang berunsur negatif dan menyatukan masyarakat supaya hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.

Beliau memetik hadis yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu adalah mereka yang menghijrahkan diri daripada perkara yang dilarang Allah SWT.” (HR Imam Ahmad)

Walaupun peristiwa bersejarah itu, meninggalkan kita sejak sekian lama, ia perlu diteruskan dengan cara membebaskan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya.

Hal ini dapat direalisasikan sekiranya pemikiran dan segala perbuatan yang dilaksanakan itu berpegang teguh kepada petunjuk al-Quran, hadis dan perbahasan ulama.

“Antaranya Nabi Muhammad SAW melarang kita daripada berpecah-belah, sebaliknya menggesa kita supaya saling menghormati sesama insan termasuk mereka yang berlainan agama serta tidak berdendam dan menyakiti kaum lain.

“Setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan termasuk pemimpin yang perlu mengajak rakyat hormat kepada hak bukan Islam juga.

“Lebih penting, pemimpin Islam berkewajipan memupuk masyarakat bukan Islam ini menghormati hak orang Islam seperti pelaksanaan perundangan Islam dan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Perkara itu perlu berjalan seiring di semua peringkat termasuk dalam institusi keluarga, supaya keharmonian itu dapat dikecapi secara menyeluruh.

Perbetulkan cara berfikir

Beliau menambah, konsep minda juga perlu diperbetulkan. Ini disebabkan ada segelintir masyarakat yang berpandangan kita tidak sepatutnya terikat dengan al-Quran dan sunah hanya kerana corak hidup semasa yang jauh berubah berbanding zaman Nabi dan Rasul terdahulu.

“Cara berfikir sebegini wajib disanggah kerana kalau kita lihat era kebangkitan ilmu di Andalus banyak melahirkan ulama yang bukan saja pakar dalam agama, bahkan menguasai ilmu merangkumi pelbagai bidang termasuk sains, teknologi dan perubatan.

“Daripada aspek teknologi, cendikiawan Islam menjadi sumber perdana dan itu tidak menghalang masyarakat waktu itu tetap mentaati perintah Allah SWT, menjaga batas, aurat dan melaksanakan hukum Allah SWT.

“Ini menunjukkan Islam itu sesuai pada bila-bila masa dan tidak ada kaitan untuk meninggalkannya disebabkan perkembangan teknologi atau minda mengikut zaman,” katanya.

Beliau menambah, ada pelbagai kaedah bagi membantu kelompok masyarakat Islam yang berfikiran terlalu terbuka hingga menolak al-Quran dan hadis.

“Kita boleh bantu dakwah mereka ini tetapi mungkin tidak dengan hujah agama yang bersifat tulen. Ini disebabkan mereka agak sukar menerimanya kerana terlalu berpegang kepada logik akal.

“Usaha ilmuwan moden boleh dibuat dengan mengaitkan al-Quran dan hadis dengan memberikan fakta saintifik. Misalnya ada banyak hadis yang mengajak kita berfikir akan kebesaran Allah SWT dan cara berupaya membantu mengembalikan mereka ke jalan kebenaran,” katanya.

Syed Shahridzan menambah, bagi umat Islam yang masih keliru bagaimana untuk memulakan fasa penghijrahan, ia boleh dilakukan dengan melihat ke dalam diri sendiri dan mengenali pencipta kita, Allah SWT.

“Buat permulaan, kembalilah kepada agama yang fitrah, jangan hidup di dunia ini dengan gaya yang bercanggah dengan syariat Islam.”

“Contohnya, bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT) mungkin hijrah boleh dimulakan dengan musahabah diri sendiri dan bertafakur mengenai kebesaran Allah.

“Mengapa Allah menjadikan kita di muka bumi ini, di samping berjinak-jinak mendekatkan diri pada Allah dengan solat lima waktu, zikrullah dan menghadiri kelas agama, ini mungkin dapat membantu kembali kepada fitrah.

Berita Harian X