Isnin, 17 September 2018 | 12:00pm
KAJIAN tidak rasmi menunjukkan terdapat lebih 150,000 pelajar tahfiz di seluruh pelosok negara, termasuk di luar bandar. - NSTP/Khairunisah Lokman

Wakaf bantu isu lokasi, dana tahfiz

SEJARAH pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini bermula secara formal sejak setengah abad lalu melalui pusat pengajian al-Quran yang membimbing pelajar menghafaz secara sistematik.

Selain Darul Quran yang memulakan operasinya di Masjid Negara pada 1966, terdapat beberapa pusat pengajian di negeri menggunakan kaedah sama.

Kebanyakan usaha itu digerakkan pendakwah daripada benua India yang datang berdakwah di negara ini.

Mereka juga memperkenalkan kaedah hafazan al-Quran dengan membuka kelas hafazan di tempat masing-masing.

Sehingga kini, madrasah tahfiz dapat dilihat wujud dalam pelbagai bentuk sama ada kelas harian, pusat, institut, madrasah, maahad dengan satu tujuan sama.

Bagaimanapun, tempoh masa yang cukup lama ini tidak bermakna sekiranya tidak disokong dengan pembangunan fizikal dan akademik yang mantap.

Bantu menerusi wakaf

Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais, berkata keterbatasan dana dan tenaga tetap sekolah mengehadkan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh.


MUDIR Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR), Rohidzir Rais. - NSTP/Khairull Azry Bidin

“Ia dapat dilihat daripada keadaan fizikal madrasah dengan kebanyakannya beroperasi di premis yang tidak sesuai seperti rumah kedai, teres dan flat.

“Sebahagian madrasah terpaksa beroperasi di premis sedemikian kerana tidak mempunyai dana mencukupi bagi membeli tanah dan membina bangunan sendiri.

“Sebahagian yang lain pula bernasib baik kerana mendapat tanah dan bangunan wakaf yang selesa,” katanya kepada BH di sini.

Rohidzir berkata, bagi menggalakkan pembangunan sekolah tahfiz, sistem wakaf perlu diperkasakan dan dipermudahkan oleh pihak berautoriti.

“Alangkah baik sekiranya Majlis Agama Islam Negeri dan Pejabat Tanah Negeri memperkasakan sistem wakaf.

“Kesedaran masyarakat untuk mewakafkan tanah dan harta mereka juga dilihat semakin meningkat berdasarkan rekod majlis agama tetapi masih terbiar kerana pihak majlis juga tidak mampu menguruskannya.

“Sepatutnya tanah ini ditawarkan kepada sekolah tahfiz memerlukan dan mampu diuruskan dengan syarat minimum,” katanya.

Selesaikan isu wakaf

Beliau turut menyentuh beberapa kes pengurusan wakaf yang tidak sempurna.

“Ada kes yang mengakibatkan tanah wakaf sekolah dirampas antaranya oleh anak pewakaf selepas pemiliknya meninggal dunia.

“Selain itu, undang-undang berbeza di Pejabat Tanah Negeri juga menyebabkan urusan wakaf tidak dapat disempurnakan kerana keengganan mereka menerima penama bersama sebagai pemegang amanah.

“Isu wakaf ini jika mampu ditangani boleh menjadi dana besar kepada pembangunan sekolah agama,” katanya.

Beliau berkata, sistem wakaf sudah lama diamalkan di universiti dan madrasah tahfiz terkemuka dunia.

“Di Universiti Al-Azhar, Mesir pengamalan wakaf berhasil bagi menampung kos operasi antara universiti tertua di dunia itu sehingga ratusan tahun.

“Sekolah tahfiz di Turki juga mula mengamalkannya dan memperoleh pendapatan tetap yang lumayan. Ia digunakan bagi pembangunan infrastruktur dan menambah baik kualiti pengajian akademiknya,” katanya.

Ramai beralih kepada tahfiz

Mengupas lanjut, beliau berkata, kajian tidak rasmi menunjukkan terdapat lebih 150,000 pelajar tahfiz di seluruh pelosok negara termasuk di luar bandar.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa, madrasah tahfiz masih utuh berdiri, bahkan semakin ramai pula ibu bapa mula mempercayainya.

Lebih menarik, majoriti mereka dalam golongan profesional seperti pensyarah universiti, jurutera, doktor perubatan dan pegawai kerajaan, bahkan guru yang mengajar di sekolah aliran perdana.

“Saya lihat perlu dikaji apakah kekurangan yang terdapat pada sekolah aliran perdana hingga ibu bapa enggan mempertaruhkan masa depan anak mereka di sana tetapi memilih sekolah tahfiz.

“Kegagalan pembentukan akhlak dan iman di sekolah kebangsaan antara faktor utama yang menakutkan ibu bapa,” katanya.

Lihat semula konsep pendidikan

Katanya, konsep pendidikan perlu dilihat semula secara tuntas iaitu dengan tidak memisahkan pelajaran agama Islam dengan subjek lain.

Bahkan, katanya kegagalan sama berlaku kepada sekolah integrasi dan tahfiz sains kerana ia menjadikan subjek agama sebagai tempelan, bukan asas utama.

“Sejak daripada sekolah rendah hingga menengah, pelajar didoktrin supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan peperiksaan cemerlang demi meraih peluang belajar di universiti.

“Di universiti pula, diperkenalkan istilah kebolehpasaran mahasiswa bagi mengukur kualiti dan prestij, lalu jadilah pelajar seperti burung dalam sangkar yang terpaksa belajar kerana terpaksa atau demi memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata,” katanya.

Cinta dan amalkan ilmu

Menurutnya, ia bertentangan dengan konsep madrasah yang bersifat bimbingan bagi mencintai ilmu dan beramal dengan ilmu dipelajarinya.

“Natijahnya, pelajar sekolah agama belajar dengan rela hati walaupun berdepan dengan subjek yang berkali ganda lebih banyak dan sukar daripada sekolah aliran perdana.

“Inilah sebahagian keindahan sistem pendidikan Islam yang tidak dimiliki sekolah kebangsaan dan hanya difahami oleh mereka yang pernah melalui pengajian madrasah.

“Bagi saya sendiri yang pernah mengikuti sekolah kebangsaan selama 11 tahun sebelum berpindah ke sekolah pondok dan tahfiz hingga ke Universiti Al-Azhar, tentu lebih memahami perbezaan kedua-dua aliran,” katanya.

45 dibaca
Berita Harian X