Selasa, 30 Oktober 2018 | 5:29pm
PENDAKWAH Nusantara, Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Terbuka rai perbezaan pandangan

BANGI: Perbezaan pendapat atau khilaf dalam kalangan ulama untuk menentukan sesuatu hukum bukan saja tidak boleh dielakkan, bahkan akan terus berlaku dalam ranah agama.

Malah, perbezaan pendapat sudah wujud sejak zaman sahabat yang berterusan hingga lahirnya mazhab fiqh utama seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta beberapa kelompok imam mujtahid yang lain.

Walaupun ulama dalam setiap mazhab mempunyai kaedah mengeluarkan hukum yang sebahagiannya berbeza dalam menentukan hukum, ia masih lagi berpandukan sumber yang sama, iaitu al-Quran dan sunnah.

Pendakwah Nusantara, Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, berkata khilaf wujud disebabkan setiap ulama mempunyai sudut pandangan tersendiri disebabkan mempunyai sumber hukum yang berbeza.

Beliau berkata, daripada pandangan yang berbeza itu seterusnya melahirkan pandangan mazhab terbabit yang digunakan oleh pengikut mereka.

Dalam menentukan hukum katanya, selain bersumber al-Quran dan sunnah, imam mazhab turut menggunakan pelbagai sumber bersandarkan ijma, qiyas, istidlal, qaul shahabi (pandangan sahabat Nabi SAW) dan maslahah al-mursalah.

“Ada yang mempersoalkan umat Islam meyakini Tuhan yang sama, al-Quran yang sama, solat ke arah kiblat yang sama tetapi mempunyai mazhab yang berbeza.

“Bagi saya ia adalah pandangan yang dangkal yang dikeluarkan oleh individu atau kelompok yang tidak faham mengenai pandangan bermazhab,” katanya dalam ucaptama Pendekatan Istidlal dan Tarjih Ulama Shafie dalam Menentukan Hukum Fiqh pada Seminar Ilmu Wahyu dan Thurath (SIWAT) Ke-34 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, pegangan mazhab membantu umat Islam untuk menjalankan tatacara hidup bersandarkan acuan yang dikehendaki Islam.

Tanpanya, masyarakat sukar mempraktikkan syariat kerana ketiadaan rujukan teratur dan sandaran diiktiraf.

Katanya, menjadi tanggungjawab umat Islam menolak aliran pemikiran yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Beliau turut mengingati umat Islam untuk lebih terbuka dalam menerima kewujudan pandangan yang pelbagai dalam mazhab lain.

Menyentuh lebih lanjut mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan imam mazhab, Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab boleh wujud disebabkan pelbagai perkara termasuk satu dalil yang mempunyai beberapa maksud.

Mengambil contoh dalam perkara membabitkan soal perceraian, Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali quru.” (al-Baqarah 228)Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, quru yang terdapat dalam ayat itu mempunyai dua makna, iaitu haid dan suci, sekali gus boleh bermaksud tempoh haid atau tempoh bersih dari haid.

“Dalam mengeluarkan hukum daripada ayat itu, imam mazhab berbeza dalam memahaminya. Imam Malik dan Imam Shafie berpendapat perkataan quru mewakili tempoh bersih daripada haid, manakala Imam Abu Hanifah berpendapat ia mewakili tempoh seseorang itu berada dalam haid.

“Imam Ahmad dalam pendapatnya yang pertama mengatakan quru itu ialah masa suci kemudian dalam pendapatnya kedua, beliau mengatakan ia adalah masa dalam keadaan haid.

“Walaupun ayat terbabit merujuk kepada dalil yang sama, imam mazhab mempunyai tafsiran hukum yang berbeza tetapi Imam Syafie dalam mengeluarkan hukum ini beristidlal berdasarkan beberapa ayat al-Quran dan hadis lain. Jadi quru itu ditarjihkan kepada tiga kali bersih,” katanya pada acara yang dianjurkan Pusat Kelestarian Thurath Islami, Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM.

Menyentuh perkara khilaf lain iaitu solat witir, Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, terdapat mazhab yang menjadikan ibadat itu sebagai wajib.

Namun berdasarkan hadis yang diriwayatkan Bukhari, Nabi SAW sembahyang sunat di atas tunggangan dengan menghadap ke arah mana sahaja hala tujuannya dan Baginda mengerjakan sembahyang witir di atas tunggangan melainkan pada sembahyang yang wajib.

Justeru, Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, mengambil daripada hadis mazhab Syafie meletakkan hukum solat witir sebagai solat sunat yang dituntut.

Katanya, umat Islam harus mengambil iktibar dengan membenarkan khilaf dalam kalangan umat Islam asalkan ia berlandaskan asas yang kuat dan bersandarkan al-Quran, hadis, ijma serta qiyas.

Berita Harian X