Rabu, 14 November 2018 | 5:37pm
PENDAKWAH dan penulis, Aizuddin Kamarul Zaman. - Foto NSTP

Iktibar perang, perjuangan Rasulullah

KUALA LUMPUR: Sejarah peperangan Rasulullah SAW dalam usaha mempertahankan agama, meninggikan syiar dan mengalahkan musuh yang menzalimi umat Islam pada zamannya perlu dikenang serta dijadikan iktibar.

Ia amat penting kerana dunia Islam sehingga hari ini tidak pernah sunyi daripada intipan, perancangan jahat dan serangan sama ada secara psikologi serta fizikal untuk meruntuhkan kedaulatan dan keutuhan Islam.

Peperangan membabitkan Rasulullah SAW bermula selepas hijrah Baginda ke Madinah, dalam usianya lewat 53 tahun. Bayangkan dalam usia sedemikian, selain menyebarkan dakwah, Baginda turut berjihad di jalan Allah SWT dengan terbabit dalam 84 siri peperangan menentang kaum musyrikin.

Secara purata, Rasulullah SAW dan sahabat terbabit sekurang-kurangnya tujuh kali dalam siri peperangan setiap tahun.

Dalam 10 tahun terakhir hayat Baginda yang wafat pada usia 63 tahun, beliau tidak pernah berehat, sebaliknya terus berjuang demi manfaat umat dan masyarakat di sekelilingnya.

Tak berkait keganasan

Pendakwah dan penulis, Aizuddin Kamarul Zaman, berkata peperangan membabitkan Rasulullah SAW tidak dikaitkan sebagai kekejaman atau keganasan, sebaliknya Baginda diwahyukan oleh Allah SWT untuk menyelamatkan umat Islam daripada ancaman musyrikin Quraisy.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi disebabkan mereka dianiaya. Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong. Iaitu mereka yang diusir dari rumah mereka tanpa alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah.” (Al-Hajj: 39-40)

“Nabi berperang kerana iman dan sejarah menjadi saksi tidak ada satu kaum mahupun daerah yang hancur dimusnahkan oleh tentera Muslimin pada zaman Rasulullah SAW.

“Tidak hairanlah sepanjang 84 siri perang Nabi SAW, angka korbannya cuma 321 orang dan jika dibandingkan dengan peperangan sezaman dengannya seperti kerajaan Parsi dan Rom, jumlahnya jauh lebih besar.

“Strategi Nabi SAW dalam peperangan lebih kepada tujuan dakwah iaitu menawan dan mengislamkan kaum Musyrikin, bukan dengan niat lain seperti menjajah tanah mereka,” katanya.

Mengulas permulaan perang pada zaman Rasulullah SAW, Aizuddin berkata, pada mulanya ia diistilahkan sebagai sekatan ke atas musyrikin Quraisy yang datang dari kota Makkah untuk melakukan aktiviti perniagaan di Syam.

“Tujuan utama sekatan ini dilakukan adalah membantutkan ekonomi mereka. Jalan ini diambil supaya mereka tidak dapat menyerang Madinah kerana sekiranya sumber ekonomi mereka kukuh, maka ia dapat digunakan untuk membeli perkakasan senjata dalam jumlah banyak bagi memerangi umat Islam.

“Pada masa sama, ketika itu berlaku perang terbesar yang pertama dihadapi Nabi Muhammad SAW menerusi Perang Badar.

“Ia bertujuan mengambil semula harta umat Islam yang dicuri ketika kaum Muslimin berhijrah dari Makkah ke Madinah. Barangan yang dicuri ini dijadikan dagangan oleh Abu Sufyan ke Syam, justeru Nabi Muhammad SAW melancarkan perang untuk menebus semula harta umat Islam,” katanya.

Dalam peperangan itu, tentera Islam seramai 313 bertempur dengan lebih 1,000 tentera musyrikin. Pada akhirnya, ketua tentera musyrikin, Abu Jahal terbunuh, manakala ratusan mereka bertempiaran lari meninggalkan medan Badar.

Perang Tabuk

Aizuddin berkata, dalam kebanyakan perang pada zaman Rasulullah SAW, 19 daripadanya disertai dan dipimpin oleh Baginda.

Mengulas mengenai sejarah antara perang Islam paling kritikal katanya, Perang Tabuk yang juga peperangan terakhir pada zaman itu sarat dengan pelbagai cabaran.

“Dalam perang ini ada lima kesusahan dihadapi Rasulullah SAW. Ia termasuk perjalanannya yang jauh, dari Madinah ke Tabuk, mencecah 700 kilometer jaraknya, selain berlaku pada musim panas serta tentera Islam kekurangan makanan.

“Sehingga dalam riwayat menyebut kaki mereka pecah akibat bahang kepanasan dan terpaksa merendam kulit haiwan dan memakan daun sekadar untuk mengalas perut.

“Bahkan, tentera Islam ketika itu melakukan jihad yang besar kerana di Madinah ketika itu adalah musim menuai hasil kurma, sekali gus meninggalkan kebun dan berjihad demi jalan Allah SWT,” katanya.

Antara cabaran terhebat ialah Perang Tabuk membabitkan musuh Islam paling kuat dan terbesar pada zaman itu, iaitu Kerajaan Rom Timur.

Bagaimanapun sebelum tiba detik pertempuran, tentera Rom mengambil keputusan berundur dan Rasulullah SAW mengadakan perjanjian damai dengan pemimpin dari Ailah, Jarba’ dan Azruh.

Secara tidak langsung, wilayah yang dikuasai Rom turut berakhir dan ramai delegasi Arab mulai bernaung di bawah pemerintahan Islam.

Mengulas iktibar daripada perang Rasulullah SAW, Aizuddin berkata, walaupun umat Islam di negara ini tidak dihimpit dengan konflik peperangan, amat wajar untuk melihat kembali kepada sejarah peperangan pada zaman Rasulullah terutama pengorbanan dan perjuangannya.

“Hari ini, kita tidak lagi berperang, namun umat Islam menghadapi jihad yang lebih besar, iaitu bagaimana untuk melawan daripada hawa nafsu yang sering menguasai diri.

“Lihat bagaimana Baginda menyatupadukan kaum Muhajirin dan Ansar, Rasulullah SAW mempersaudarakan sesama Muslim walaupun mereka berlainan bangsa,” katanya.

INFO

Jenis perang Nabi

* Ghazwah: Peperangan yang disertai oleh Nabi SAW. Baginda sendiri bertindak selaku ketua panglima perang.

* Sariyah: Operasi khas yang tidak disertai Nabi SAW. Baginda melantik seorang dalam kalangan sahabat menjadi ketua operasi. Kebiasaan, operasi ini dilancarkan untuk meninjau secara terperinci kekuatan musuh, jumlah peralatan senjata mereka dan kawasan yang bakal menjadi medan pertempuran.

* Ba’ats: Delegasi atau utusan yang dihantar oleh Nabi SAW untuk melaksanakan sesuatu urusan.

Berita Harian X